KANGAR: Gelombang Perikatan Nasional (PN) termasuk aura Datuk Seri Shahidan Kassim bukan sahaja menumbangkan Arau malah memastikan Barisan Nasional (BN) kalah di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan semua tiga Parlimen di negeri ini.
Menzahirkan rasa syukur dengan kemenangan luar biasa itu, Shahidan berkata, jangkaan beliau pada awalnya PN hanya mampu memenangi sembilan atau 10 kerusi DUN namun apa yang berlaku gabungan tersebut menawan hampir kesemua kerusi DUN.
Katanya, saluran orang muda dan pengundi luar juga menunjukkan sokongan luar biasa yang menunjukkan mereka mahukan gelombang perubahan di negeri ini dan seluruh negara.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh rakyat Perlis khususnya golongan muda dan pengundi luar yang memberi kepercayaan kepada PN mentadbir negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Pas Kangar di sini.
PN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga setelah menguasai 14 daripada 15 kerusi DUN sekali gus menamatkan penguasaan lebih 60 tahun BN di Perlis.
BN gagal memenangi mana-mana kerusi yang disifatkan pencapaian paling buruk dalam sejarah parti itu manakala Pakatan Harapan (PH) mengekalkan satu kerusi di Indera Kayangan.
Shahidan yang menjadi ‘panglima perang’ bagi gabungan tersebut juga meraih majoriti cukup besar sebanyak 23,216 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie dan calon BN, Datuk Rozabil Abdul Rahman di Parlimen Arau.
Tambah Shahidan, amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat ini perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
“Kita juga lihat muka-muka segar dan baharu yang akan mentadbir Perlis dengan baik selepas ini,” katanya. – UTUSAN