KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki pada pukul 8.50 pagi ini untuk proses penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau yang berbaju Melayu berwarna biru berarak bersama penyokong dari BN Command Centre Dewan Yayasan Bena Nusa bermula pukul 8.40 sebelum tiba 10 minit kemudian di pusat penamaan calon berkenaan.
Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Rosni Adam sudah berada di situ disusuli ketibaan calon Pakatan Harapan (PH), Khalid Abdul Samad pada jam 8.55 pagi.
Pada PRU14, Kerusi Parlimen Titiwangsa disandang Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dengan majoriti 4,139 undi selepas memperoleh sebanyak 23,840 undian pada PRU14.
Rina menewasKan Johari yang memperoleh sebanyak 19,701 undian manakala calon Pas, Mohamad Noor Mohamad memperoleh 6,845 undi.
Pada PRU kali ini, Rina tidak mempertahan kerusi tersebut berikutan bertanding di Parlimen Sepang menggunakan tiket PN. – UTUSAN