IPOH: Barisan Nasional (BN) dicadang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi pembentukan Kerajaan Negeri Perak yang stabil.
Presiden Gagasan Melayu Perak, Norali Nordin berkata, kerjasama itu dilihat mampu meredakan ketegangan politik yang sedang dihadapi pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Bagi merealisasikan kerajaan negeri yang stabil dan demi masa hadapan rakyat berbilang kaum di negeri ini, BN dan PH digesa bekerjasama. Kami menyeru supaya BN Perak dan PH Perak untuk sama-sama bersemuka serta mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan kemelut ini,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, bagi memastikan kerjasama itu menjadi kenyataan, BN perlu membersihkan parti mereka daripada imej buruk yang sedang dihadapi kini.
Katanya, tindakan sedemikian juga perlu dilakukan PH dengan menghilangkan elemen cauvinis di dalam parti itu.
“Memandangkan ekonomi dunia bakal melalui kelembapan dalam tempoh dua tahun bermula suku keempat 2022, maka kerajaan negeri perlu membuat perancangan awal bagi mengurangkan impak penguncupan ekonomi secara langsung kepada rakyat Perak. Sebuah kerajaan negeri yang stabil dijangka mampu menarik pelabur asing yang tinggi ke negeri ini,” katanya.
Kerajaan negeri Perak belum boleh dibentuk ekoran tiada mana-mana parti memperoleh majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU15.
PRU15 menyaksikan Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi terbanyak dengan 26 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) pula 24 kerusi dan sembilan kerusi dimenangi BN. – UTUSAN