SEREMBAN: Walaupun hanya berjawatan kecil dalam politik, calon muka baharu Barisan Nasional (BN) Parlimen Seremban, Felicia Wong Yin Ting yakin dapat memberi saingan sengit kepada calon parti lawan terutama penyandang kerusi tersebut, Anthony Loke Siew Fook dari Pakatan Harapan (PH).
Yin Ting, 43, yang kini Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Pendidikan MCA Negeri Sembilan berkata, tidak dinafikan beliau masih kerdil dalam arena politik jika dibandingkan dengan Siew Fook sebagai Setiausaha Agung DAP.
Bagaimanapun, Yin Ting berkata, beliau berpengalaman luas dalam pentadbiran di semua peringkat melalui pengalaman dalam bidang pendidikan dan perniagaan.
“Sebagai anak jati Seremban dan masih baharu (dalam politik) saya akan memberikan fokus kepada pembangunan Seremban selain dapat berbakti lebih lama jika diberikan mandat oleh rakyat.
“Berbanding calon lawan saya sebagai Setiausaha Agung DAP, beliau agak sibuk perlu menjaga parti bagi seluruh Malaysia selain di Seremban,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Yin Ting berkata, beliau tidak gentar dan akan berusaha sebaik mungkin walaupun dianggap calon bukan pilihan dan kerusi Parlimen Seremban sebagai kubu kuat DAP.
“Calon parti lawan memang kuat, tetapi pengundi di Seremban yang terdiri daripada majoriti Melayu diikuti Cina dan India boleh menerima kehadiran saya dan mereka sangat positif.
“Saya mempromosi diri sebagai calon ‘alternatif’ kepada pengundi Seremban, malah masyarakat mendakwa tidak banyak perubahan di Seremban ketika pentadbiran penyandang sebelum ini,” katanya. – UTUSAN