Fathul Bari bawa politik servis bukan populis - Utusan Malaysia

Fathul Bari bawa politik servis bukan populis

FATHUL BARI MAT JAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya menyifatkan peluang yang diberikan oleh pucuk pimpinan parti terhadap beliau sebagai calon merupakan satu tanggungjawab dan amanah besar yang perlu digalas bagi memenangkan parti di kawasan berkenaan.

Ruang tersebut juga adalah atas faktor kepercayaan kepemimpinan parti terhadap hasil kerja mendekati rakyat dan usaha selama ini di kawasan tersebut.

Terus menggunakan pendekatan politik servis bukan populis, Fathul Bari berkata, perkhidmatan berterusan dan hubungan rapat dengan rakyat selama ini diharap dapat memberi kelebihan kepadanya.

Malah beliau juga menggariskan perancangan yang akan dilaksanakan di Kangar seperti dalam aspek pembangunan ekonomi, pendidikan, isu anak muda, peluang pekerjaan, pembangunan sukan dan kebajikan rakyat merangkumi pelbagai segmen masyarakat.

“Saya menganggap pemilihan sebagai calon muka baharu di Parlimen Kangar ini sebagai tanggungjawab dan amanah kepada rakyat dan juga membantu memenangkan parti.

“Saya akan terus membawa pendekatan politik servis di kawasan Kangar ini dengan rakyat boleh menilai melalui perkhidmatan selama ini.

“Perkhidmatan di kawasan Kangar sejak lima tahun kebelakangan ini diharap diterjemahkan oleh rakyat dengan memberi peluang kepada saya benar-benar menjadi wakil orang Kangar bagi membawa segala permasalahan atau isu kawasan berkenaan ke peringkat Pusat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Semalam BN mengumumkan Fathul Bari yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebagai calon di Parlimen Kangar.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar itu bakal menggalas tanggungjawab merampas kembali Parlimen Kangar yang tewas buat pertama kalinya dalam sejarah kepada PKR dalam PRU14.

Fathul Bari bakal berdepan penyandang kerusi Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad serta calon Perikatan Nasional (PN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang sudah mengumumkan calon mereka.

Menjelang PRU15, Fathul Bari memberitahu, politik matang akan terus ditampilkan dengan apa yang lebih penting menyelesaikan isu rakyat.

“Semua calon bertanding boleh bawa agenda masing-masing dan biarlah rakyat menilainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya