KANGAR : Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kangar, Datuk Fathul Bari Mat Jahya antara yang terawal tiba di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi di sini pada pukul 8.05 pagi.
Fathul Bari yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO ditemani isterinya, Siti Aisyah Mohd Nor dan Fathimah Rania Erlano turut mengundi di pusat mengundi berkenaan.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangari itu selesai mengundi kira-kira 15 minit kemudian.
Fathul Bari juga sempat beramah mesra dengan orang ramai di luar sekolah selepas selesai proses pengundian tersebut.
Pengundi mengambil kesempatan keluar mengundi awal selepas cuaca cerah pagi ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, Fathul Bari akan menentang calon Pakatan Harapan (PH), Noor Amin Ahmad yang juga penyandang serta tiga lagi calon lain iaitu Zakri Hassan (PN), Rohimi Shapiee (Warisan) dan Nur Sulaiman Zolkapli (GTA).
Sementara itu, Fathul Bari berharap pengundi dapat menunaikan tanggungjawab tersebut dan keluar awal untuk mengundi. – UTUSAN