ARAU: Di sebalik pertembungan Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Rozabil Abd. Rahman lebih menjadi perhatian, namun cabaran calon muda daripada Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie tidak boleh dipandang ringan.
Tidak mustahil, Fathin Amelina, 28, mampu mencipta sensasi di Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pertembungan Shahidan dan Rozabil itu secara tidak langsung turut membuka peluang kepada Fathin Amelina mencipta kejutan namun beliau tetap memilih tidak berada dalam zon selesa sebaliknya terus bekerja keras mendekati pengundi di kawasan berkenaan.
Fathin Amelina menegaskan perlu bekerja keras lagi khususnya di saat-saat akhir menjelang hari pengundian yang memerlukan lebih momentum.
“Tidak dinafikan pada mulanya agak terkejut (bertanding di Parlimen Arau), sedikit takut, tapi kita ambil peluang itu, cuba dulu, tidak mengalah terlalu awal.
“Alhamdulilah sehingga kini penerimaan masyarakat sangat baik walaupun ini (Arau) kubu kuat mereka (Shahidan). Namun dengan keadaan politik semasa ini antara pihak lawan (Shahidan dan Rozabil) mungkin kita boleh tengok macam ada cahaya di hujung terowong,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Parlimen Arau yang merupakan antara kerusi panas dalam PRU15 bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Shahidan yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN); Rozabil mewakili Barisan Nasional (BN) dan Fathin Amelina.
Dalam PRU14, Shahidan memenangi kerusi Parlimen berkenaan atas tiket BN dengan majoriti selesa 4,856 undi mengatasi calon Pas, Hashim Jasin dan Abd. Rahman Daud (PKR).
Shahidan yang sudah hampir 40 tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum 1986, 1990, 2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.
Sementara itu, Fathin Amelina berkata, sepanjang kempen, pihaknya terus konsisten turun padang bertemu penduduk kampung, kedai-kedai makan dan sebagainya selain sebaran melalui media sosial.
Katanya, penerimaan dalam kalangan anak-anak muda juga sangat baik yang kebanyakan mereka lebih kepada menyokong PH.
“Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kita juga menyasarkan menang tiga kerusi di Pauh, Simpang Empat dan Sanglang,” katanya. – UTUSAN