MELAKA: Kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya menyaksikan pertembungan empat penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pakatan Harapan (PH) mempertaruh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Adam Adli Abd. Halim dalam usaha mempertahan kerusi berkenaan yang dimenangi penyandang, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin pada PRU14.
Turut bertanding di kerusi berkenaan ialah anak bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali yang membuat penampilan sulung mewakili Barisan Nasional (BN).
Seorang peguam bela, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh turut mempertaruh harapan menang dengan bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).
Perikatan Nasional (PN) pula meletakkan ahli perniagaan, Mohd. Azrudin Md. Idris.
Pengesahan empat calon terbabit diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Md. Azhan Samat tepat pukul 10.30 pagi tadi di Dewan Bestari Ayer Keroh di sini sebaik berakhir tempoh bantahan.
Pada proses penamaan calon berkenaan, semua calon yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Sehingga tempoh pendaftaran tamat seperti ditetapkan pukul 10.00 pagi, tiada calon bebas dilihat mengemukakan pencalonan.
Adam Adli paling awal mendaftar pukul 8.58 pagi diikuti Mohd. Ridhwan (9.02 pagi), Mohd. Azrudin (9.09 pagi) dan Sheikh Ikhzan (9.12 pagi). – UTUSAN