BERA: Usaha memulihkan ekonomi negara berada pada landasan betul apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pada suku ketiga tahun ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 14.2 peratus berbanding lima peratus dan 8.9 peratus, masing-masing pada suku pertama dan kedua.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar pengangguran juga menunjukkan trend penurunan iaitu 3.6 peratus pada September lalu berbanding 3.7 peratus pada bulan sebelumnya.
“Saya hendak buktikan bahawa tuduhan-tuduhan yang mengatakan kerajaan gagal memulihkan ekonomi dan sebagainya adalah tuduhan yang tidak berfakta sedangkan kita membuktikan berlaku peningkatan yang mendadak dalam KDNK negara.
“Malah pengangguran satu perkara dimomokkan seolah-olah rakyat tiada pekerjaan jadi angka-angka membuktikan kerajaan berjaya menurunkan kadar pengangguran,” katanya dalam sidang akhbar pada program ramah mesra bersama penduduk Kampung Bongkok di Bilik Gerakan Kampung Bongkok di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, pertumbuhan KDNK negara merupakan yang tertinggi jika dibandingkan dengan negara lain di Asia Tenggara sekali gus membuktikan usaha peningkatan ekonomi dilakukan kerajaan adalah tepat.
Jelasnya, jika dibandingkan kadar KDNK bagi suku ketiga Singapura adalah 4.4 peratus, Indonesia (5.72 peratus), Filipina (7.6 peratus), Vietnam (13.67 peratus) dan China sebanyak 3.9 peratus.
Ismail Sabri menambah, trend penurunan kadar pengangguran negara adalah hasil pelbagai program yang diperkenalkan kerajaan seperti program jamin kerja dan sebagainya.
Dalam pada itu beliau berkata, perdagangan borong dan runcit negara juga menunjukkan peningkatan sebanyak 23.9 peratus pada September apabila mencapai RM134 bilion berbanding dalam tempoh yang sama tahun lalu sebanyak RM108.1 bilion.
“Ini bermakna ada peningkatan dari segi jualan perdagangan dan dari segi jualan runcit dan sebagainya seperti borong juga berlaku peningkatan dan saya harap itu memberikan gambaran bahawa rakyat masih mampu berbelanja,” jelasnya. – UTUSAN