SABAK BERNAM: Calon Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Seri Eizlan Yusof bertekad mahu menyelesaikan ‘jilid buku’ isu rakyat sekiranya diberi mandat menjadi Ahli Parlimen Sabak Bernam kelak.
Isu utama yang masih membelenggu penduduk setempat itu melibatkan kelemahan jaringan komunikasi jalur lebar dan telefon selain kerosakan jalan.
Eizlan yang juga pelakon dan pengarah berkata, beliau menggunakan pendekatan berkempen secara bersemuka berbanding ceramah atau syarahan.
“Walaupun hanya calon luar, saya sudah lama bergerak dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan amat memahami denyut nadi rakyat.
“Sepanjang lebih seminggu di Parlimen ini, saya ibarat mendengar satu jilid buku masalah yang perlu diselesaikan terutama jalur lebar atau internet,” katanya dalam sidang akhbar di Pekan Sabak di sini, hari ini.
Jelas Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan itu, beliau turut mahu menubuhkan Jawatankuasa Komuniti Parlimen yang disertai penduduk bagi mengenal pasti isu setempat.
“Saya berasal daripada keluarga susah dan amat memahami masalah rakyat terutama golongan B40. Justeru, penubuhan jawatankuasa di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) itu perlu ditubuhkan bagi menyelesaikan permasalahan yang berlaku,” ujarnya.
Tambah Eizlan, beliau akan terus menjadi kumpulan pendesak sekiranya gagal memenangi kerusi kubu kuat parti lawan tersebut.
“Saya adalah orang yang suka bekerja dan bukan hanya bercakap kosong semata-mata. Jika kalah sekali pun, saya akan terus mendesak wakil rakyat supaya menyelesaikan apa sepatutnya selaras dengan tanda pagar #jomkitabuatkerja,” katanya.
Eizlan berdepan saingan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abd. Rahman Bakri; Kalam Sahlan (PN) dan Shamsul Ma’arif Ismail (PH).
Pada PRU14 lalu, kerusi itu dimenangi Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh yang mewakili BN namun bertindak keluar UMNO dan menyertai Bersatu. – UTUSAN