Dua warga emas kecewa tak dapat mengundi - Utusan Malaysia

Dua warga emas kecewa tak dapat mengundi

ZALEHA Abdul Rahman (kanan) bersama anaknya, Zuliza Ramli menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kota Sarang Semut, Alor Setar. -UTUSAN/MOHD RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh: MOHD RAFIE AZIMI dan ABD. RAZAK OSMAN

ALOR SETAR: Seorang warga emas kecewa apabila tidak dapat menunaikan tanggungjawab mengundi buat kali pertama dalam hidupnya setelah nama didapati sudah ‘dipotong’ sebaik tiba di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Buluh Lima, Kota Sarang Semut hari ini.

Menurut Zaleha Abdul Rahman, 74, dia terkejut apabila dimaklumkan seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dirinya sudah pun mengundi dan namanya telah dipotong sebaik tiba di pusat mengundi tersebut kira-kira pukul 9.55 pagi.

Katanya, semakan petugas tersebut bersama empat lagi petugas lain yang berada dalam bilik mengundi juga mendapati, kesemua mereka telah memotong namanya.

“Saya hairan, siapa yang guna nama saya untuk mengundi sedangkan sudah terbukti jari saya belum dicelup dakwat. Saya tak pernah terlepas mengundi dan inilah kali pertama masalah ini timbul. Apabila anak saya, Zuliza Ramli, mempersoal perkara itu, petugas SPR meminta kami membuat laporan polis.

“Saya benar-benar kecewa hingga rasa menggeletar apabila diberitahu mengenai situasi yang berlaku. Barangkali inilah keadaannya yang dikatakan pengundi hantu seperti yang diperkata orang sebelum ini dan saya harap pihak berkuasa dapat membuat siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Zaleha yang mengundi bagi Parlimen Kuala kedah memaklumkan, beliau kemudiannya ditemani Zuliza membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Kota Sarang Semut kira-kira pukul 10.15 pagi.

Sementara itu Zuliza, 38, berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku ketika rakyat diberi ruang untuk bersuara bagi menentukan kerajaan yang dimahukan untuk memimpin negara.

“Selain itu kami juga bimbang mengenai kemungkinan Mykad ibu dipalsukan dan digunakan oleh individu lain. Perkara sebegini melibatkan isu-isu keselamatan berkaitan perkara-perkara lain.

“Sebelum ini, ada juga dengar perkara sebegini berlaku tetapi tak sangka kali ini terjadi kepada ibu sendiri. Saya berharap pihak berkuasa menyiasat sama ada kejadian ini disebabkan oleh kecuaian manusia atau berlaku perkara menyalahi undang-undang,” katanya. 

Sementara itu di Sungai Petani, Rohani Mohd. Noor, 69, dari Taman Sri Impian turut berdepan situasi sama apabila tiba di pusat mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Terk, Batu 2 Jalan Kuala Ketil pada pukul 10 pagi.

“Semasa berada di meja SPR saluran 2 untuk membuat pengesahan mengundi, saya diberitahu oleh seorang petugas, nama saya telah dipotong kerana telah mengundi sedangkan saya tidak mendapat sebarang kertas undi lagi,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad mengesahkan menerima laporan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya