KOTA KINABALU: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak peduli seberapa lanjut pun usianya bertanding di kerusi Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Pengerusi Pejuang itu berkata, beliau bukan tidak mahu melepaskan kawasan berkenaan namun, hanya mahu menggantikan kerajaan yang lebih baik di bawah pentadbirannya jika menang dalam pilihan raya.
“Bukan mahu mempertahankan Parlimen Langkawi, kita nak tentukan supaya kita dapat ganti kerajaan yang menyalah guna kuasa yang merosakkan negara dengan kerajaan yang baharu.
“Kalau saya boleh buat sesuatu untuk menukarkan kerajaan daripada yang buruk kepada yang baik, saya tidak kira umur saya. Saya akan berusaha,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Negeri Sabah di Pusat Komersial Aeropod, di sini hari ini.
Beliau dijadualkan berada di sini selama dua hari dan akan memberi ceramah anjuran Pejuang bahagian Papar esok.
Semalam, selepas penamaan calon pilihan raya berjalan serentak di seluruh negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan, Dr. Mahathir yang berusia 96 tahun kekal menjadi calon tertua bertanding dalam pilihan raya kali ini.
Dr. Mahathir berdepan pertandingan lima penjuru di Langkawi ditentang Datuk Armishah Siraj (BN), Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah (PN), Zabidi Yahya (PH) dan Datuk Abdul Kadir Sainudin (Bebas).
Pada Mac lalu, beliau pernah menyatakan pendirian tidak bertanding PRU15 berikutan faktor usia dan tahap kesihatannya belum pulih selain memberi laluan kepada calon muka baharu supaya dapat berkhidmat lebih cemerlang kepada rakyat.
Bagaimanapun, pada Jun lalu, beliau membuat pusingan U dan akan mempertahankan Langkawi jika partinya tidak mempunyai calon lain bertanding di kawasan itu.
Mengulas lanjut, beliau tidak berfikir terdapat kemungkinan untuk bekerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selepas pilihan raya.
“Saya tidak tahu, saya rasa Warisan tidak pun mempunyai jumlah calon yang cukup. Warisan masih baru dan mereka tidak dikenali di Semenanjung sebaliknya dikenali sebagai parti Sabah.
“Ramai bekas wakil rakyat Warisan sudah meninggalkan mereka. Jadi, apa yang mereka boleh lakukan? Tiada apa-apa,” katanya. – UTUSAN