SHAH ALAM: Calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di Parlimen Shah Alam memperkenalkan manifesto PN Shah Alam hari ini.
Calon PN, Dr. Afif Bahardin berkata, manifesto tersebut diperkenalkan bagi menaikkan semula martabat bandar raya itu sebagai salah sebuah bandar raya terbaik di negara ini.
“Salah satu manifesto tersebut adalah saya mahu menjadi penghubung di antara kerajaan negeri dengan kerajaan Pusat dalam isu penyelesaian banjir di Shah Alam.
“Saya melihat perkara ini amat serius kerana kebelakangan ini banjir sering kali berlaku di bandar raya ini,” katanya ketika berucap dalam program Dialog Misi #shahalamKITA di sebuah pusat membeli-belah di sini, hari ini.
Selain menyelesaikan isu banjir, Dr. Afif mahu menjadikan Shah Alam sebagai pusat perniagaan tumpuan di Selangor.
Justeru itu, beliau mencadangkan supaya beberapa pusat membeli-belah di bandar raya untuk tidak mengenakan kadar sewa selama setahun kepada belia yang mahu memulakan perniagaan.
“Hal ini memerlukan kemahuan politk (political will) daripada seorang ahli politik dan saya sanggup menggalas cabaran itu.
“Selain itu, saya mahu mewujudkan pusat bakat (talent bank) di bandar raya supaya belia ini dapat digunakan sebaiknya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr. Afif memaklumkan bahawa beliau akan mewujudkan pusat khidmat masyarakat PN Shah Alam bergerak sekiranya menang.
Menurutnya, pusat tersebut akan bergerak di semua kawasan perumahan di bandar raya itu bagi mendengar masalah yang dihadapi penduduk bandaraya berkenaan. – UTUSAN