GEORGE TOWN: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bukit Bendera yang digugurkan, Razalif Mohd. Zain berhasrat bertanding atas tiket Bebas di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Razalif yang merupakan anak jati Ayer Itam berkata, beliau akan mengadakan sidang akhbar dalam tempoh terdekat bagi menjelaskan isu sebenar berkaitan kerusi Parlimen Bukit Bendera itu.
”Hajat di hati saya masih mahu bertanding, tetapi mungkin atas tiket Bebas nanti. Apa pun saya masih perlu berbincang dengan pihak atasan berhubung perkara ini, saya akan maklumkan dalam sidang akhbar nanti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda Parti Cinta Malaysia (PCM) Nasional, Richie Huan Xin Yun dinamakan sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Bukit Bendera menggantikan Razalif yang digugurkan daripada kerusi berkenaan.
Razalif berkata, sebelum ini beliau dipilih bertanding di kerusi Parlimen Bukit Bendera di atas tiket Friends of Barisan Nasional (BN).
”Saya sebenarnya bukan ahli Parti Cinta Malaysia (PCM), saya Ketua Putra Nasional Parti Progresif Penduduk (MyPPP). Tetapi disebabkan MyPPP ada isu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), saya dijemput bertanding atas tiket Friends of BN di bawah PCM,” katanya.
Tambahnya, beliau memilih bertanding di Parlimen Bukit Bendera kerana telah menjalankan gerak kerja di kawasan berkenaan sejak 2018.
“Saya bergerak sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Yayasan Metamorphosis, jadi pengundi di kawasan itu telah mengenali saya. Apa pun saya akan maklumkan kepada pengundi selepas satu keputusan dibuat nanti,” katanya. – UTUSAN