PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri memperjelaskan bahawa Dhaka Communique dimeterai pada mesyuarat Persatuan Lingkaran Lautan Hindi (IORA) tidak memperincikan isu pecahan gender.
Deklarasi berkenaan yang dipersetujui 23 negara anggota langsung tidak ada menyentuh mengenai pengiktirafan kesaksamaan hak jantina tertentu termasuklah khunsa.
Sebaliknya, menurut Wisma Putra, Dhaka Communique menyambut baik usaha-usaha negara anggota untuk memperkasakan ekonomi wanita.
Penjelasan itu sebagai merujuk laporan akhbar ini pada Sabtu lalu berhubung penerimaan individu yang berstatus dwijantina tersebut dalam setiap aktiviti IORA menjelang 2030 kelak.
Berita asal berkenaan memetik laporan daripada akhbar berpengaruh Thailand, The Nation yang merujuk kenyataan rasmi oleh jurucakap kerajaan negara itu, Ratchada Thanadirek.
Beliau dipetik pada sidang akhbar di Bangkok mengesahkan Kabinet Thailand memperakui deklarasi tersebut termasuk nisbah jantina 40:40:20 untuk segala kegiatan dikelolakan IORA.
IORA diwujudkan pada 1995 lalu sebagai sebuah pertubuhan kerjasama antarabangsa yang melibatkan 23 buah negara melingkari Lautan Hindi selain ada 10 lagi bertaraf rakan dialog.
Ia memberi fokus kepada isu keselamatan dan kesejahteraan maritim, perdagangan dan fasilitasi pelaburan, pengurusan perikanan dan risiko bencana serta pelancongan dan budaya.
Thanadirek juga dilaporkan akhbar ternama berbahasa Inggeris itu berhubung mesyuarat ke-22 organisasi berkenaan yang bersetuju menerima Arab Saudi sebagai rakan dialog ke-11.
Mengulas lanjut, Wisma Putra sebaliknya berkata, Dhaka Communique yang dimuktamadkan turut tidak menyatakan penambahan mana-mana negara sebagai rakan dialog IORA yang baharu.
Malaysia pada acara yang berlangsung di ibu kota Bangladesh, Dhaka itu diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Pelbagai Hala, Kementerian Luar, Datuk Cheong Loon Lai.
Mesyuarat tiga hari itu dengan tema khusus ‘Memanfaatkan Peluang Kelestarian Lautan Hindi Demi Pembangunan Inklusif’ turut memperakui Keputusan Hasil Mesyuarat Majlis Menteri Luar IORA.
Selain itu, deklarasi tersebut memperakui pelbagai mekanisme dirancang bagi penggalakan agenda tindakan perubahan iklim dan pemulihan ekonomi sejagat pasca pandemik Covid-19. – UTUSAN