Dermasiswa B40 TVET bukti kerajaan tekad bantu pelajar B40

Dermasiswa B40 TVET bukti kerajaan tekad bantu pelajar B40

ABDUL Razak Jaafar (belakang, tengah ) bersama penerima Dermasiswa B40 TVET di Politeknik Kota Kinabalu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Komitmen kerajaan membantu golongan pelajar B40 diteruskan melalui pemberian dermasiswa kepada 41 pelajar yang mengikuti pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) di Sabah.

Hari ini, seramai 36 pelajar Politeknik Kota Kinabalu (PKK) menerima Dermasiswa B40 TVET yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Dermasiswa B40, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar.

Beliau berkata, secara keseluruhan, seramai 1,000 orang pelajar daripada golongan B40 di seluruh negara menerima manfaat melalui program dermasiswa tersebut.

Peruntukan sejumlah RM36.41 juta bagi pelaksanaan Program Dermasiswa B40 TVET itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 20 Jun lalu.

Abdul Razak berkata, menerusi peruntukan itu, setiap penerima di peringkat diploma akan menerima RM3,980 setiap semester dan ia boleh digunakan untuk membayar yuran pengajian serta elaun wang saku.

“Kita berharap pemberian dermasiswa itu akan mengurangkan bebanan pelajar B40 kerana tidak perlu membayar balik bantuan kewangan yang diberikan selepas tamat pengajian kelak.

“Ia akan mewujudkan ekosistem pengajian yang kondusif kepada pelajar kerana mereka tidak perlu lagi memikirkan bebanan kewangan untuk menampung yuran pengajian dan kos sara hidup sepanjang pengajian,” katanya selepas penyampaian Dermasiswa B40 TVET di Politeknik Kota Kinabalu di sini semalam.

Menurut beliau, dermasiswa yang julung kali diperkenalkan itu merupakan komitmen kerajaan dalam menyediakan akses pendidikan tinggi kepada golongan muda, terutama dalam kalangan B40.

Namun, penyediaan institusi pengajian tinggi sahaja tidak mencukupi kerana faktor kos pengajian yang agak mahal juga perlu diberi perhatian serius.

Menurut beliau, kekangan kewangan antara punca menyebabkan berlaku keciciran dalam kalangan masyarakat. Jadi, program dermasiswa sebegitu akan membantu menampung pembiayaan pendidikan pelajar yang terpilih.

Katanya, pelajar yang menerima dermasiswa tersebut dipilih daripada golongan B40 yang disenarai pendek oleh pihak kementerian. Pelajar juga tidak perlu memohon untuk mendapatkan dermasiswa ini kerana pemilihan dilakukan menerusi data yang diperoleh dalam sistem Unit Pusat Universiti (UPU) online.

“Ini sebagai bukti komitmen kerajaan untuk membantu pelajar-pelajar dari kumpulan B40 melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Hakikatnya, ramai yang layak untuk ditawarkan kemudahan dermasiswa ini, namun, tapisan terpaksa dilakukan susulan kekangan peruntukan, jadi, pelajar yang terpilih harus menggunakan dermasiswa yang diberikan dengan sebaiknya,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan akan terus mengarusperdanakan bidang pengajian TVET. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya