Dari perunding perkahwinan ke jahitan manik

Ubah strategi pernigaan, dari perunding perkahwinan ke jahitan manik

PENGASAS Qisqama Collections, Siti Mariam Harun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keadaan ekonomi yang tidak menentu sepanjang pandemik Covid-19 telah memaksa usahawan-usahawan kecil untuk mengubah strategi perniagaan agar terus dapat beroperasi bagi mengelakkan perniagaan ditutup.

Antara yang teruk terjejas terus adalah perkhidmatan perunding perkahwinan yang merupakan antara sektor perniagaan terakhir yang dibenarkan beroperasi di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi Siti Mariam Harun, pengusaha perkhidmatan perunding perkahwinan di ibu negara yang telah mengambil tindakan drastik untuk memulakan perniagaan jahitan manik dimana ia merupakan satu langkah yang tepat untuk meneruskan kelangsungan hidup di dalam tempoh PKP.

Menurut beliau, idea untuk memulakan perniagaan jahitan manik timbul selepas berbincang dengan suami dan anak-anak cara untuk meneruskan perniagaan dengan menggunakan modal yang kecil bagi menggantikan sementara perniagaan lama yang terkesan akibat Covid-19.

“Sebelum PKP saya beroperasi di sebuah butik namun butik tersebut terpaksa ditutup. Mengambil inisiatif dalam memastikan kelangsungan hidup dapat dipenuhi, Saya mengambil keputusan pantas dalam menghasilkan produk-produk jahitan manik menggunakan lebihan kain-kain baju pengantin bagi mengurangkan penggunaan modal kecuali pembelian manik.

Kongsi ibu kepada lima orang anak itu lagi, produk-produk jahitan manik yang dihasilkan menerima sambutan yang menggalakkan dengan memanfaatkan aplikasi media sosial seperti Instagram dan Facebook.

“Jualan secara atas talian banyak membantu dalam menambah pendapatan di mana ianya merupakan platform jualan yang sangat efektif terutama ketika situasi PKP.”

Menceritakan penglibatan awalnya dalam bidang jahitan manik, Siti Mariam berkata semuanya bermula secara sambilan dari rumah dengan mengambil tempahan menyediakan hantaran pengantin hasil tempahan dari saudara mara dan rakan-rakan dengan bantuan suaminya.

Dari situ, beliau mula bergiat serius dengan mengambil lebih banyak tempahan dan akhirnya mengambil keputusan berhenti kerja bagi menumpukan terus dalam bidang perniagaan.

Bekas kakitangan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) itu menambah, minat yang mendalam dalam bidang jahitan menjadikan beliau lebih serius dalam menjalankan perniagaan dan memastikan hasil jahitan adalah berkualiti dan memenuhi kehendak pelanggan sehingga hasil tangan beliau menjadi buah mulut di kalangan pelanggan yang seterusnya membantu dalam aspek pemasaran.

“Saya amat menitik beratkan soal kualiti dalam hasil kerja saya kerana kepuasan pelanggan adalah yang paling saya utamakan, sebab itulah hasil yang berkualiti tinggi secara tidak langsung telah membantu membuatkan perkhidmatan saya terus mendapat sambutan hasil maklum balas positif daripada pelanggan’’.

Menurut beliau lagi, kreativiti dan keupayaan untuk menghasilkan corak dan rekabentuk pada jahitan serta penggunaan manik-manik berkualiti tinggi juga merupakan salah satu kekuatan yang membuatkan hasil kerja beliau mendapat sambutan.

“Bagi menghasilkan kualiti jahitan manik yang memuaskan hati pelanggan, saya memastikan hanya manik-manik yang berkualiti sahaja digunakan agar warnanya tidak mudah luntur dan maniknya tidak mudah pecah atau tertanggal.”

“Saya juga menggunakan batu Swarovski dan permata gred tertinggi yang diimport dari Jepun dan Korea bagi menambahkan lagi seri dalam setiap jahitan.”

Sementara itu, Siti Mariam memberitahu, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) banyak membantu dalam mengembangkan perniagaan. Bermula dengan pinjaman permulaan RM3,000 pada tahun 2017, beliau kini telah berjaya memperolehi pendapatan bulanan bersih sebanyak RM17,000 sebulan.

“Saya amat berterima kasih di atas bantuan yang telah diberikan oleh pihak AIM dengan modal pinjaman awal sebanyak RM3,000 saya telah berjaya mengembangkan perniagaan saya sehingga ke tahap ini. Sehingga ke hari ini AIM telah memberikan pinjaman berjumlah hampir RM200 ribu bagi membantu saya untuk mengem­bang­kan perniagaan’’.

Qisqama Collection turut menyediakan Villa yang terletak di Titiwangsa dalam pakej perkahwinan selain dari menyediakan khidmat katering, make-up, busana pengantin, doorgift, hantaran dan pelbagai lagi di samping menawarkan perkhidmatan jahitan manik baju dan selendang pengantin, beg tangan dan bunga telur.

Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan Siti Mariam Harun, boleh hubungi 019-2198429 atau melayani laman Facebook dan Instagram di alamat Qisqama Collection. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya