IPOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan tular kononnya gabungan itu akan membentuk kerjasama baharu dengan Perikatan Nasional (PN).
Tegas Anwar, dakwaan itu merupakan satu penipuan dan dilakukan oleh parti lawan yang kini dalam keadaan terdesak untuk meraih undi.
“Mula-mula tular saya dengan Datuk Seri Zahid (Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), sekarang PN pula.
“Ini semua penipuan yang dibawa oleh orang-orang yang merasakan mereka akan kalah kalau persaingan itu bersih,” katanya ketika hadir bertemu pemain selepas pertandingan persahabatan bola sepak di Padang Halaman Meru Permai di sini hari ini.
Terdahulu tular di media sosial dokumen bertajuk ‘Perjanjian Perikatan Harapan’ yang didakwa dilaksanakan sekiranya tiada mana-mana parti memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Objektif utama perjanjian itu antara lain bagi menghalang BN berkuasa kembali sekali gus menerajui Putrajaya serta menghalang pembentukan kerajaan BN dengan Parti Gabungan Sarawak (GPS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurut Anwar yang juga calon kerusi Parlimen Tambun, orang ramai diminta agar tidak terpengaruh dengan dakwaan tersebut dan merujuk kepada sumber sahih.
“Saya menasihatkan kawan-kawan, pengundi dan rakyat Malaysia, dalam beberapa jam ini, banyak lagi fitnah yang akan dikeluarkan. Ini menunjukkan mereka ini orang yang muflis akhlaknya dan terdesak.
“Teliti dahulu dan jangan percaya, rujuk kepada sumber yang sahih macam kita belajar hadis,” katanya.
Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR turut optimis PH mampu memenangi PRU15 dengan majoriti mudah tanpa bergabung dengan mana-mana parti.
Menurutnya, PH mahu mengubah landskap politik negara dengan menolak rasuah, salah guna kuasa dan perkauman. – UTUSAN