JASIN: Rakyat kini boleh menilai dakwaan pembangkang berkaitan pelbagai isu yang rata-ratanya tidak disertakan bukti pada setiap kali pilihan raya diadakan.
Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sudah menjadi kelaziman pembangkang membuat tuduhan tanpa asas, semata-mata ingin meraih sokongan khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sering membuat pelbagai dakwaan dengan janji untuk mengemukakan bukti, namun akhirnya tidak berbuat demikian sehingga hari ini.
“Saya ingat pada pilihan raya terdahulu, mereka kata ada bukti bertong-tong tetapi selepas pilihan raya, satu benda pun tak nampak. Jadi saya tengok politik sebegini, rupa akhirnya orang dapat menilai sendiri sama ada apa yang mereka cakap ini serius ataupun tidak.
“Apa yang didakwa Anwar kononnya ada anggota tentera di Bera, Pahang sudah mengundi awal dan dibayar untuk berbuat demikian, disifatkan sebagai keterlaluan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama calon BN kerusi Parlimen Jasin, Datuk Roslan Ahmad di Dewan Alamanda di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan dakwaan Anwar bahawa tentera mengundi awal di Parlimen Bera dibayar RM300, adalah bersifat fitnah dan merendahkan martabat anggota keselamatan.
Anwar sebelum ini mendakwa, terdapat anggota tentera khususnya di Bera sudah mengundi untuk PRU15 dan mendapat bayaran.
Dalam pada itu, Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata, beliau percaya ramai anggota tentera kini berasa marah dengan dakwaan tersebut.
“Kalau nak berpolitik pun janganlah sampai sanggup melakukan dan buat tuduhan-tuduhan yang dulu, dia kata ada bukti tetapi sampai hari ini tak ada pun,” ujarnya. – UTUSAN