KUALA LUMPUR: Pengarah drama atau filem perlu berfikiran di luar kotak dengan mengubah pendekatan lama untuk memaparkan babak berkaitan suami dan isteri dalam produksi mereka.
Berpengalaman membintangi lebih 20 filem, Noorkumalasari, 66, berkata, babak sekatil bagi menunjukkan ikatan pasangan suami isteri tidak perlu lagi dipaparkan kerana itu adalah kaedah lama.
Jelasnya, banyak lagi adegan lain yang perlu dihapuskan kerana drama dan filem juga adalah satu bentuk dakwah kepada masyarakat.
“Ini bukan soal sensitiviti, tapi itu adalah cara lama. Sekarang semua sudah maju, misalnya untuk paparkan adegan mangsa rogol, tidak perlu lagi tunjuk adegan berkemban.
“Ada banyak pendekatan lain boleh diterapkan untuk menunjukkan kepada penonton apa yang berlaku.
“Ini bukan macam zaman saya dahulu. Zaman sekarang sudah lain, negara Barat pun tidak lagi tunjuk adegan begitu,” katanya.
Lebih lima dekad bergelar anak seni, namun tidak pernah membawa pulang sebarang pengiktirafan melibatkan filem, Noorkumalasari tidak berkecil hati kerana baginya, penonton masih mahu melihatnya di skrin.
“Saya mahukan kepuasan dalam lakonan kerana ia melebihi segala-galanya. Selalu juga dicalonkan dalam Festival Filem Malaysia tetapi tidak pernah menang,” katanya.
Noorkumalasari pernah dicalonkan bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia sejak 1980 sehingga 1991, namun gagal meraih sebarang trofi.
Disoal aspek penjagaan kecantikan dan mengekalkan kredibiliti dalam lakonan, Noorkumalasari berkata, perkara tersebut tidak pernah difikirkan kerana baginya, penting memberikan yang terbaik setiap kali mendapat kepercayaan pengarah.
“Apabila masuk dunia seni, saya hanya berpegang kepada kata-kata ibu iaitu ‘jaga nama baik ibu bapa dan hormat orang tua’,” katanya.
Dalam pada itu, bekas peragawati yang pernah menghiasi muka depan majalah dan surat khabar berkongsikan tips kepada semua artis agar sentiasa menjaga penampilan walaupun ketika menjalani kehidupan biasa.
“Contohnya kalau terserempak dengan wartawan yang mahu ambil gambar, kita sudah sedia. Jangan sudah tidak berlakon drama, kita tidak jaga makan sehingga berat badan juga bertambah,” selorohnya.