Chalet Deruan Ombak lokasi lihat penyu karah mendarat

Chalet Deruan Ombak lokasi percutian melihat penyu karah mendarat

MAWAR Seroja Minhat di hadapan Chalet Deruan Ombak di Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Masjid Tanah yang menawarkan pengalaman percutian ala kampung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENIKMATI air kelapa yang dikait sendiri sambil disapa angin Selat Melaka, menjadi pengalaman mendamaikan bagi penghuni kota yang mahukan suasana percutian ala kampung. Lebih menarik jika ada rezeki pelawat berpeluang melihat penyu karah yang mendarat untuk bertelur di pantai berkenaan.

Begitulah, suasana untuk menggambarkan keunikan Chalet Deruan Ombak di Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Masjid Tanah yang menawarkan pengalaman percutian ala kampung.

Pemilik Chalet Deruan Ombak, Mawar Seroja Minhat berkata, dia dan suami Mohd Azam Jamlus, mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi menguruskan perusahaan berkenaan kerana mencari kedamaian selain lari daripada hiruk-pikuk kesibukan di kota batu.

“Ramai dalam kalangan pelawat menginap di chalet kami mahukan suasana kampung. Bagi ramai orang bunyi tapak kaki kanak-kanak berlari diatas papan lantai kayu sesuatu yang menjengkelkan, namun tidak bagi pelawat kami, bunyi itulah yang mereka rindukan. Ramai mahu imbau kenangan masa kecil dulu.

“Sekeliling chalet ditanam dengan pelbagai tumbuhan seperti pokok herba, jika mahu guna mereka boleh petik saja, senang cerita pelawat mahu suasana seperti berada di rumah sendiri di kampung.

“Lebih istimewa kami juga ada pokok mengkuang, sebelum ini ada sediakan pakej untuk pelancong luar negara belajar membuat anyaman menggunakan daun mengkuang dan mencanting batik. Semua ini adalah antara usaha saya mempromosikan kesenian kraftangan tempatan kepada dunia luar,” katanya.

Bekas penganalisa kewangan ini berkata, bukan sekadar menawarkan percutian ala kampung, malah lokasi chalet berhampiran pantai yang bersih juga membolehkan pelawat untuk berkhemah dan menganjurkan majlis seperti sambutan hari jadi dalam keadaan selesa.

Katanya, bagi pencinta haiwan mereka boleh berkunjung ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Padang Kemunting, untuk melihat sendiri usaha memulihara penyu karah terletak tidak jauh dari chalet berkenaan atau membeli ikan segar di pengkalan nelayan berhampiran.

Jelasnya dengan lapan unit apartmen, dua unit inap desa dan empat chalet, pihaknya bersedia untuk menerima kunjungan orang ramai yang inginkan percutian dalam suasana kampung.

“Sebenarnya semua ini berlaku tanpa dirancang, bermula dengan pembinaan rumah rehat untuk keluarga pada 1996, kemudian tambah lagi beberapa bilik dan diikuti pembinaan apartment.

“Kejayaan hari ini adalah sokongan ramai pihak khususnya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang banyak membantu kami dalam menambah baik perkhidmatan dan kemudahan demi memastikan pelawat berasa selesa serta puas dengan perkhidmatan disediakan.

“Syukur sedikit demi sedikit kami terus maju, meskipun kos operasi agak tinggi namun bantuan daripada AIM amat melegakan,” katanya.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan merancang percutian mereka yang berminat boleh melayari laman web www.chaletderuanombakv2.blogspot.com, selain platform media sosial Facebook Chalet Deruan Ombak dan Instagram Chalet Deruan Ombak. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN