CYBERJAYA: Meskipun muncul sebagai calon pertama mengadakan ceramah umum di kawasan Parlimen Sepang, aksi Datuk Mohd. Daud Leong Abdullah ternyata begitu santai.
Calon tunggal dari Parti Utama Rakyat (PUR) untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu malahan berucap hanya dengan berdiri dari but di sebuah kenderaan pacuan empat roda, malah Pengerusi parti tersebut yang baru sahaja ditubuhkan beliau sendiri pada 2019, sepatutnya berceramah sehari sebelum itu namun ditunda kerana faktor hujan lebat.
Tanpa ada sebarang khemah, peguam mualaf berketurunan Cina dan berusia 57 tahun dari Ipoh, Perak itu menjadikan tempat simpan barang kereta partinya sebagai pentas mudah alih.
Bertempat di Neocyber, program bermula agak lewat sedikit kerana beliau sebelum itu turut berceramah ringkas di Pasar Malam Salak, kira-kira 25 kilometer jauh dari lokasi di Cyberjaya.
“Insya-Allah saya akan bawa ‘suara’ anda semua untuk perhatian pihak berkuasa termasuk pelbagai isu komuniti seperti masalah lampu jalan dan anjing liar di kawasan ini,” tegasnya.
Dengan aksi bersahaja seperti penjual ubat jalanan, beliau juga akan cuba memperjuangkan isu kadar caj parkir yang agak melampau dikenakan oleh pihak pengurusan di Neocyber.
Berbekalkan pengalaman ketika membawa isu sama di Majlis Perbandaran Ampang sebelum ini, beliau berharap membangkitkan kes tersebut kepada Majlis Perbandaran Sepang pula.
Ini merupakan penampilan julung kali Mohd. Daud sebagai calon bertanding setelah lebih 20 tahun berkecimpung aktif dalam politik menerusi Biro Aduan MCA sebelum keluar pada 2019.
Ketika ditanya peluang untuk menang PRU15, beliau berkeyakinan tinggi meraih banyak undi daripada penduduk terutama pengundi atas pagar dan mereka yang ‘boikot’ parti tertentu, bahkan berjanji menjadi wakil rakyat pertama mendermakan keseluruhan gaji bulanannya kepada masyarakat untuk dibelanjakan sebagai amal kebajikan.
Kerusi Sepang menyaksikan persaingan sengit lapan penjuru termasuk calon Barisan Nasional, Perikatan Nasional, Pakatan Harapan dan Parti Pejuang Tanah Air serta wakil dari Bebas. – UTUSAN