Cangkerang eksotik laris sempena cuti PRU15

Cangkerang eksotik laris sempena cuti PRU15

SARINA Dollah menunjukkan sebahagian cangkerang eksotik yang dijual di gerainya Kampung Pengkalan Gelap, Setiu, Terengganu. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Kepulangan warga kota ke kampung halaman untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memberi rezeki berganda kepada seorang penjual cangkerang eksotik di Kampung Pengkalan Gelap, di sini.

Sarina Dollah, 39, yang menjual kerang, lokan, kepah dan ketam nipah diperoleh dari penduduk beberapa kampung daerah itu berkata, jualannya meningkat hampir lima kali ganda sejak petang kelmarin.

“Lazimnya, saya jual sekitar 40 kilogram (kg) setiap hari tetapi untuk musim pilihan raya ini, saya tambah kepada 200 kg kerana permintaan meningkat sepanjang musim cuti sama ada perayaan atau persekolahan.

“Inilah peluang untuk peniaga kecil seperti saya tambah pendapatan kerana hidupan bercangkerang eksotik sukar didapati di bandar-bandar besar.

“Kalau ada pun, harganya agak mahal namun di sini saya hanya jual kerang pada harga RM10/kg, kepah (RM8/kg), lokan pula RM10 untuk tiga kilogram dan ketam nipah antara RM35 hingga RM50 mengikut saiz,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Sarinah yang berniaga hidupan bercangkerang itu sejak empat tahun lalu berkata, ramai yang singgah membelinya kerana tahu tanah bencah di kawasan Kampung Pengkalan Gelap dan Kampung Mangkuk menjadi habitat semula jadi hidupan tersebut.

“Semuanya dijual segar kerana saya mendapat stok jualan daripada penduduk kampung yang menjadikannya sebagai sumber rezeki mereka.

“Lebih seronok sebab ramai pembeli mengakui mereka mahu membawanya pulang ke bandar untuk diberi kepada rakan sepejabat dan jiran agar mereka turut merasai keenakan makanan berasaskan hidupan bercangkerang ini sebagai tanda ingatan dari kampung.

“Selain enak dimasak dengan pelbagai resipi seperti dicicah sos tiga rasa, ia mempunyai khasiat tersendiri contohnya ketam nipah yang sering dicari pesakit demam denggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya