SERDANG: Berbaki lebih kurang tiga hari lagi sebelum kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berakhir, calon-calon bagi kerusi Parlimen Puchong kian sibuk untuk mendekati seramai mungkin pengundi.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, mereka akan berkempen habis-habisan sehingga detik 11.59 malam pada Jumaat ini untuk memastikan kesemua lapisan pengundi berjaya didekati.
“Kita akan kempen habis-habisan di semua tempat sehingga ia selesai. Kita juga sudah merencanakan strategi bagaimana mahu tolong bawa pengundi ke pusat pengundi dan kenderaan yang akan digunakan.
“Untuk pengundi atas pagar pula, kita banyak guna sosial media, kita hantar maklumat calon, bahan kempen dan manifesto kerana ini semua keyakinan untuk mereka beri peluang kepada saya untuk laksanakan apa yang dijanjikan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas meninjau proses mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini hari ini.
Sementara itu, satu-satunya calon Bebas, Kuan Chee Heng atau lebih popular sebagai Uncle Kentang berkata, sebagai calon ‘underdog’ pada PRU15 beliau sama sekali tidak pernah berputus asa walaupun berdepan saingan tiga parti politik.
Menurut Chee Heng, beliau sentiasa cuba untuk menawarkan yang terbaik kepada seluruh penduduk di Puchong kerana memenangkan rakyat pada PRU15 merupakan misi utamanya.
“Walaupun saya rasa Malaysia akan hadapi satu lagi keadaan yang rumit kerana tidak ada ‘clear winner’, tapi kena tetap menangkan rakyat walau mana-mana parti sekali pun yang bakal memerintah.
“Sebagai seorang calon, saya sentiasa harap untuk sebuah Malaysia yang lebih baik, kuburkan sengketa dan pergaduhan kerana negara memerlukan sebuah anjakan yang dinamik serta matang,” ujarnya.
Manakala calon Pakatan Harapan (PH), Yeo Bee Yin berkata, peluang tiga hari lagi untuk berkempen akan digunakan sebaik mungkin bagi bertemu pengundi secara fizikal atau secara maya.
“Kita sudah pergi banyak kawasan besar, kalau tak dapat bertemu secara fizikal kita guna platform media sosial untuk tiga hari lagi ini. Rasa semakin yakin itu (ada) tapi tak boleh nak pastikan lagi (untuk PRU15),” katanya.
Parlimen Puchong bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Syed Ibrahim, Chee Heng, Bee Yin dan Chew Jgh Gang (Perikatan Nasional).
Pada PRU14, kerusi Parlimen Puchong dimenangi Gobind Singh Deo dari DAP dengan majoriti 47,635 undi menewaskan Ang Chin Tat (BN-MCA) yang mendapat 12,794 undi dan Mohamad Rosharizan (Pas) dengan 10,255 undi. – UTUSAN