IPOH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membuat keputusan terbaik kepada semua pihak berhubung pengganti kepada calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Tioman, Pahang yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini kerana semua pihak telah berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan rakyat pula sudah keluar mengundi hari ini.
Menurutnya, terdapat peraturan berhubung pengganti jika seseorang calon itu meninggal dunia.
“Seingat saya terdapat peraturan apabila seseorang calon itu meninggal dunia, maka wakil calon itu akan mengambil tempat calon berkenaan.
“Mungkin itu patut diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi di pusat pengundian di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Ihtidayah Tambun Height di sini hari ini.
Calon PN bagi kerusi DUN Tioman, Pahang meninggal dunia awal pagi tadi.
Md Yunus Ramli, 61, disahkan meninggal dunia pada pukul 3.30 pagi tadi ketika menerima rawatan di Hospital Rompin.
Berikutan itu, pengundian bagi kerusi berkenaan ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Md Yunus merupakan ketua PAS Sungai Puteri dan bertanding di kerusi sama pada PRU14.
Sementara itu Ahmad Faizal yang bertanding di Parlimen Tambun berharap pengiraan keputusan mengundi hari ini tidak mengambil masa yang panjang.
“Dunia semakin maju, ada cukup petugas, saya fikir nak kira undi bukan terlalu sulit dan harap tak perlu tunggu sampai tengah malam,” katanya.
Terdahulu, Ahmadn Faizal tiba di pusat pengundian di SAR Ihtidayah Tambun Height pada pukul 7.55 pagi bersama isteri, Datin Seri Nomee Ashikin Mohammed Radzi untuk mengundi. – UTUSAN