KULIM: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Padang Serai, Dr. Mohamad Sofee Razak mengharapkan pucuk pimpinan partinya dan Barisan Nasional (BN) mengadakan perbincangan untuk menentukan hala tuju berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di kawasan itu.
Mohamad Sofee yang juga Setiausaha PH Kedah berkata, beliau secara peribadi menaruh harapan agar BN memberi kompromi untuk mereka berdepan secara satu lawan satu dengan Perikatan Nasional (PN) di situ.
Ini kerana kata beliau, kemenangan di Padang Serai pada PRU15 yang tertangguh itu akan menjadi hadiah amat bermakna untuk diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH.
“Kita sekarang sudah membentuk kerajaan yang ada PH, BN dan beberapa parti lain. Saya harapkan BN dapat memberi peluang penuh kepada PH untuk kita berlawan satu sama satu dengan PN kerana saya nampak pertandingan sebenar antara PH dan PN.
“Saya jangka mungkin akan ada perbincangan di peringkat atasan dan kompromi untuk beri peluang kepada PH di Padang Serai. Sepanjang kempen ini ramai juga yang tanya soalan ini, bahkan penyokong BN pun keliru sebab sudah sama-sama jadi kerajaan (tak tahu) nak sokong mana, tapi saya beritahu sokonglah PH,” katanya ketika ditemui semalam.
Khamis lalu, Parti Warisan mengumumkan untuk menarik diri daripada bertanding pada PRU15 Parlimen Padang Serai walaupun penyertaan calonnya, Mohd. Bakhri Hashim sudah diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdasarkan proses penamaan pada 5 November lalu.
PRU15 kawasan itu ditangguhkan kepada 7 Disember ini susulan kematian calon PH sebelum ini, mendiang M. Karupaiya pada 16 November lalu yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kulim.
Sementara itu kata Mohamad Sofee, rekod prestasi yang ditinggalkan Karupaiya memberi cabaran kepadanya untuk meneruskan khidmat cemerlang mendiang di kawasan itu sepanjang sepenggal menjadi wakil rakyat.
“Untuk memastikan perkara itu saya perlu bekerja keras di Padang Serai dan tidak boleh ambil mudah walaupun sambutan masyarakat terhadap kempen PH memberangsangkan. Kita harap pengundi akan terus beri sokongan dan sambutan sepanjang kempen ini,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas gelombang PN yang melanda sehingga gabungan itu menang di 13 kerusi Parlimen di Kedah, Mohamad Sofee mengakui tidak memandang rendah keupayaan lawan.
“Saya tak nafikan apa yang berlaku dalam PRU baru-baru ini, bagaimana kita lihat adanya gelombang Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN. Kita harap dapat perbetul naratif dibawa PN yang sehingga hari ini masih mainkan isu kaum dan agama.
“Tugas besar untuk PH memperbetul naratif yang sebenar. PH akan jumpa rakyat, kita tak gunakan saluran untuk menghentam tetapi kaedah sebaliknya adalah menjelaskan apa yang PH tawarkan,” katanya. – UTUSAN