Calon PH akui timbul kekecohan soal pemilihannya

PRU15: Calon PH akui timbul kekecohan soal pemilihannya

MOHAMAD SOFEE RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Padang Serai, Dr. Mohamad Sofee Razak mengakui pemilihannya mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menimbulkan rasa kurang senang terhadap segelintir ahli dan penyokong di kawasan itu.

Namun, Setiausaha PH Kedah itu yakin isu berkenaan boleh diselesaikan dalam tempoh terdekat kerana perkara itu sering berlaku pada mana-mana pilihan raya sebelum ini.

“Memang ada (kekecohan), tak dinafikan ada pandangan (calon) lain yang sampaikan kepada parti. PKR meraikan semua pandangan dan cadangan tetapi keputusan akhir sudah dibuat parti (menamakan beliau sebagai calon).

“Saya yakin dan percaya perkara ini tak akan menjejaskan kempen dan undi kepada PH kerana sememangnya dalam mana-mana pilihan raya akan ada (isu seperti ini), tak boleh memuaskan hati semua tetapi saya akan selesai isu ini segera,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon PRU15 Parlimen Padang Serai, hari ini.

Majlis memperkenalkan Mohamad Sofee sebagai calon PH dilakukan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub, semalam. Tetapi terdapat spekulasi menyatakan PH akan menukar nama calon pada saat akhir sebelum proses penamaan hari ini.

Bagaimanapun, perkara itu tidak terjadi selepas Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar turut mengiringi Mohamad Sofee ke Dewan Kompleks Sukan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) yang menjadi lokasi penamaan calon.

Mengulas lanjut, Setiausaha PKR Kedah itu juga berkata, terdapat faktor tertentu yang diputuskan parti untuk meletakkan seseorang sebagai calon pilihan raya walaupun kebiasaannya mengutamakan anak tempatan.

“Kelayakan dan kesesuaian calon antara faktor yang diambil kira. Kebiasaannya memang utamakan calon tempatan, tetapi berdasarkan keadaan tertentu parti ambil kira faktor lain juga,” katanya.

Ditanya mengenai kebimbangan sekiranya terdapat jentera yang enggan membantu kempennya ekoran isu itu, Mohamad Sofee yakin perkara itu tidak terjadi kerana beliau akan menguruskan perkara itu segera.

“Saya yakin jentera atau akar umbi akan tolong, mungkin sebahagian kecil yang tak puas hati atau kecewa. Tapi setakat ini kita sudah mula mengusahakan untuk mendamaikan dan menjelaskan perkara yang sepatutnya

“Mungkin kita anggap perkara ini kecil tapi ia akan mengganggu kempen tetapi saya yakin dan percaya jentera yang ada akan pastikan semua berjalan lancar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya