HULU TERENGGANU: Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bertanding kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hadir ke Pusat Penamaan Calon, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu di sini, tanpa perarakan penyokong.
Mohd. Khadri Abdullah, 49, hanya diiringi pencadang, Mohamad Zawi Ngah, 42, dan penyokongnya, Muhammad. Ridzuan Fikri, 24, ketika tiba di pusat penamaan calon itu pada pukul 8.10 pagi.
Beliau yang merupakan seorang kontraktor bakal berdepan saingan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rozi Mamat; calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Rosol Wahid dan calon Pakatan Harapan (PH), Alias Ismail.
Bagaimanapun, Mohd. Khadri ketika ditemui pemberita selepas selesai penamaan calon memaklumkan jumlah kehadiran penyokongnya kira-kira 2,000 orang namun tidak menonjol seperti parti-parti lain yang bertanding.
“Penyokong Pejuang seolah-olah tidak kelihatan tetapi ada, kami tidak menonjol sebagaimana penyokong lain. Kita telah pesan agar mereka tidak terlalu ke hadapan, cukup berada di belakang-belakang sahaja.
“Sebagai satu parti baharu ‘underdog’, tentunya soal keselamatan penyokong perlu diutamakan dan kerana itulah mereka datang memberi sokongan tanpa membawa sebarang bendera, sepanduk atau apa-apa yang melambangkan parti,” katanya.
Jelasnya, walaupun merupakan calon ‘underdog’ dia akan berjuang habis-habisan sepanjang tempoh berkempen untuk PRU15, pada 19 November ini. – UTUSAN