Calon Pejuang kekal tradisi kempen rumah ke rumah

Calon Pejuang kekal tradisi kempen rumah ke rumah

DARI kiri, Abdul Rahman Mat Yasin, Shaharizukirnain Abdul Kadir, Mohamad Ngah dan Wan Adnan Wan Ali bergambar selepas menyerahkan borang penamaan calon Parlimen Setiu di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Setiu, hari ini. - FOTO/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Wan Adnan Wan Ali mahu mengekalkan tradisi kempen rumah ke rumah bagi memenangi hati pengundi Parlimen Setiu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Menurut beliau, kempen tersebut akan lebih mendekatkan jiwa masyarakat berbanding ceramah atau forum yang lazimnya menjadi amalan kebanyakan parti politik yang bertanding.

Wan Adnan berkata, Pejuang juga telah mengenal pasti golongan pengundi yang boleh didekati bagi menyampaikan visi dan misi yang mahu dibawa parti sekiranya memenangi PRU15.

“Hasrat kami adalah mendekati pengundi dari rumah ke rumah sepanjang tempoh berkempen kerana cara itu diyakini lebih berkesan dalam mendapatkan undi mereka.

“Jentera parti telah merangka program kempen turun padang ke setiap kawasan di Parlimen Setiu dan bertemu empat mata dengan semua pengundi di sini.

“Jadi kami optimis mesej perubahan yang dibawa Pejuang akan sampai kepada semua pengundi termasuk golongan muda,” katanya selepas Majlis Penamaan Calon PRU-15 Parlimen Setiu di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu di sini, hari ini.

Wan Adnan akan berhadapan dengan calon Pakatan Harapan (PH), Mohamad Ngah; calon Pas, Shaharizukirnain Abdul Kadir dan calon BN, Datuk Abdul Rahman Mat Yasin.

Tambah Wan Adnan, selain kempen rumah ke rumah, jentera pilihan raya Pejuang juga tidak ketinggalan menggunakan pendekatan media sosial untuk menghubungkan parti itu dengan pengundi.

Menurut beliau, langkah itu dilihat bersesuaian dengan adanya golongan pengundi berusia 18 tahun yang merupakan penggundi kali pertama dalam PRU kali ini.

“Walaupun Pejuang adalah parti baharu, namun penerimaan orang ramai sangat baik. Jadi kami memiliki keyakinan membuat kejutan di Parlimen Setiu,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya