PETALING JAYA: Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) di Parlimen Hulu Selangor, Haniza Mohamed Talha berjanji untuk menyelesaikan isu yang membelenggu penduduk di Pangsapuri Seri Cempaka, Pinggiran Tasik Kiambang, Serendah sejak tahun lalu.
Haniza berkata, ini kerana penduduk kini hidup dalam ketakutan berikutan retakan pada struktur kediaman mereka susulan mendapan yang berlaku di bangunan itu.
Beliau berkata, masalah itu tidak sepatutnya berlarutan kerana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan penduduk di sana juga sudah berhubung dengan pihak berkuasa yang berkaitan sejak beberapa bulan ini, termasuk Jabatan Mineral dan Geosains, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Pejabat Daerah Hulu Selangor.
“Saya juga difahamkan berdasarkan hasil siasatan awal Jabatan Mineral dan Geosains, beberapa cadangan sudah dikemukakan termasuk siasatan lanjut (di kawasan sekitar bangunan), malangnya masalah ini masih berlarutan walaupun penduduk sudah membuat aduan sejak tahun lalu.
“Penduduk di sana tidak patut hidup dalam ketakutan (memikirkan) yang rumah mereka akan runtuh pada bila-bila masa, atau mengalami lebih banyak keretakan.
“Memandangkan saya pernah menjadi Exco Selangor yang bertanggungjawab untuk perumahan antara 2018 dan 2020, saya agak arif dengan isu perumahan. Saya berjanji akan memberi keutamaan dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini, Parlimen Hulu Selangor menyaksikan pertembungan sehingga enam penjuru daripada calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Perikatan Nasional (PN) dan seorang calon Bebas.
Pada PRU14 lepas, June Leow yang mewakili PKR menewaskan tiga calon lain daripada BN, Pas dan seorang calon Bebas selepas memperoleh majoriti 13,391 undi.
Dalam pada itu, Haniza berkata, beliau akan terus berhubung dengan penduduk di sana untuk mendapatkan maklum balas mereka.
Katanya, beliau juga akan menghubungi pihak berkepentingan yang lain seperti agensi yang berkaitan untuk segera mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi penduduk di situ.
“Saya tidak pasti apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen sebelum ini untuk menyelesaikan masalah ini, walaupun saya difahamkan bahawa ia telah dibawa ke perhatian Yang Berhormat (YB) tersebut sejak sekian lama.
“Sebagai seorang penggubal undang-undang, kita tidak seharusnya mengambil mudah tentang kebajikan dan keselamatan pengundi kita,” katanya. – UTUSAN