PETALING JAYA: Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Parlimen Tanjung Piai, Lim Wei Jeit mendakwa larangan membawa telefon bimbit ketika mengundi tidak dikuatkuasakan oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurutnya, SPR sebelum ini meletakkan peraturan di mana telefon bimbit perlu diletakkan di jagaan pegawai semasa memangkah undi.
“Mengikut apa yang saya baru lalui tadi, peraturan SPR yang handphone (telefon bimbit) perlu diletakkan ke dalam jagaan pegawai semasa anda memangkah undi itu tidak dikuatkuasakan. Ini penting untuk mencegah sogokan dan penipuan.
“Harap PACA (Ejen Tempat Undi dan Ejen Mengira Undi) dan SPR beri perhatian serius,” katanya dalam ciapan Twitter beliau hari ini.
SPR sebelum ini mengeluarkan larangan penggunaan telefon bimbit di dalam tempat mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Perkara itu dimaklumkan menerusi infografik ’10 langkah pengundian pada hari mengundi’ yang dimuat naik suruhanjaya tersebut di media sosialnya. – UTUSAN