SABAK BERNAM: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abd. Rahman Bakri yakin momentum positif pengundi termasuk anak muda mampu memberi kemenangan sekali gus menawan semula Parlimen Sabak Bernam.
Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam itu berkata, beliau sudah menemui semua lapisan rakyat menjelang pecutan terakhir kempen yang hanya berbaki dua hari.
Menurut Abd. Rahman, pengundi dilihat mula sedar mengenai keperluan kembali menyokong BN yang berkhidmat dengan baik selama ini.
“Menerusi kempen selama 12 hari, saya mendengar banyak keluhan dan pandangan daripada semua golongan termasuk petani, peladang dan pesawah padi.
“Anak muda turut memberi sokongan positif dan saya berkeyakinan kemenangan akan berpihak kepada BN,” katanya ketika ditemui di Bagan Nakhoda Omar, Sungai Air Tawar di sini, hari ini.
Jelas beliau, peningkatan hasil pertanian akan menjadi fokus utama sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen kelak sekali gus membantu pengeluaran hasil padi, mengurangkan kos harga baja yang tinggi dan mengurangkan potongan per tan padi.
“Selain itu, saya mahu mewujudkan satu pusat pengumpulan bagi memasarkan hasil pertanian seperti lengkuas, terung dan tembikai,” ujarnya.
Tambah Abd. Rahman, masalah rangkaian jalur lebar atau internet turut menjadi keutamaan beliau untuk ditambah baik pada masa depan.
Dalam pada itu, beliau menghormati semua calon lawan yang mempunyai kelebihan masing-masing selaras dengan prinsip demokrasi.
“Namun, saya yakin lebih 51,000 pengundi berdaftar sudah bijak menilai dan memilih dengan tepat wakil rakyat baharu mereka. Saya masih berpegang kepada prinsip terdahulu sebagai bekas Ahli Parlimen ini iaitu terus berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Abd. Rahman bertanding empat penjuru bagi kerusi Parlimen Sabak Bernam menentang calon Perikatan Nasional (PN), Kalam Sahlan; Shamsul Ma’arif Ismail (PH) dan Datuk Seri Idris Yusof@Eizlan Yusof mewakili Gerakan Tanah Air (GTA).
Pada PRU14 lalu, kerusi itu dimenangi Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh yang mewakili BN namun bertindak keluar UMNO dan menyertai Bersatu. – UTUSAN