PUTATAN: Calon kerusi Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya mewakili Barisan Nasional (BN) tiba di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan pada pukul 8.35 pagi tadi.
Beliau ditemani isteri, Dg Siti Noor Hayyati Ag Mohd. Saufi dan anaknya, Hasya Bazilah, 23, selesai mengundi pada pukul 8.45 pagi.
Shahelmey dilihat sempat beramah mesra dengan pengundi yang hadir di pusat mengundi yang dibuka seawal 7.30 pagi tadi.
Semua pusat mengundi bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Sabah dibuka pada pukul 7.30 pagi dan akan ditutup pada pukul 5 petang.
Di kerusi P.173 Putatan, Shahelmey berhadapan saingan empat penjuru bagi menentang tiga calon lain iaitu Awang Husaini Sahari daripada Pakatan Harapan (PH), Ahmad Mohd Said daripada Parti Warisan (Warisan) dan PoyneTudus @Patrick Payne yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Pada PRU kali ini, terdapat seramai 63,173 pengundi berdaftar direkodkan di Parlimen Putatan.
Pada PRU14, kerusi Parlimen Putatan dimenangi oleh Awang Husaini setelah memperoleh majoriti 2,339 undi. – UTUSAN