KUALA TERENGGANU: Calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding di Parlimen Kuala Nerus pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijangka diumumkan selewat-lewatnya petang ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pengumuman itu akan melenyapkan teka-teki berhubung calon yang menggalas amanah parti untuk merampas kerusi Parlimen tersebut.
“Kita masih menunggu keputusan (calon) Parlimen Kuala Nerus yang masih tergantung dan setakat ini, kita belum terima apa-apa maklumat. Mungkin dalam petang ini tahu keputusan itu,” katanya selepas menyampaikan watikah pelantikan calon lapan Parlimen Terengganu. di sini hari ini.
Ahmad berkata, beliau belum mengetahui perincian lokasi atau siapa yang akan mengumumkan calon Parlimen Kuala Nerus itu nanti.
Pada 1 November lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak mengumumkan nama calon BN untuk Parlimen Kuala Nerus menyebabkan ramai pihak yang berteka-teki berhubung perkara itu.
Kerusi Parlimen Kuala Nerus menjadi tumpuan kerana penyandang diwakili calon Bebas iaitu bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali.
Spekulasi bertiup kencang ketika ini kononnya Mohd. Khairuddin akan menyertai UMNO seterusnya mewakili parti itu untuk kekal bertanding di Kuala Nerus menyebabkan pimpinan UMNO Bahagian terbahagi kepada beberapa kumpulan yang menyokong dan membantah keputusan itu.
Antara nama yang disebut-sebut bakal menjadi calon UMNO ialah bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusof.
Pada PRU-14, Mohd. Khairuddin memenangi Parlimen Kuala Nerus setelah memperoleh 37,974 undi dengan majoriti 8,447 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Asmadi Tengku Mohamad (29,527 undi) dan calon Pakatan Harapan (PH), Abdullah Muhammad (4,604 undi). – UTUSAN