ALOR SETAR: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Setar, Tan Chee Hiong akan memfailkan saman terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa memfitnahnya ekoran kenyataan palsu, tidak terbukti dan bertujuan jahat.
Malah, Naib Ketua Pemuda MCA itu berkata, sekiranya menang saman fitnah tersebut, kesemua wang yang diperoleh seperti ditetapkan mahkamah akan dimasukkan ke dalam satu tabung untuk membantu rakyat kurang berkemampuan dalam Parlimen Alor Setar.
“Kami akan failkan saman secepat mungkin selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Ketika ini, semua calon sedaya upaya menarik perhatian pengundi namun perbuatan fitnah serta kenyataan palsu bukan sahaja kesalahan moral bahkan salah di sisi undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MCA Alor Setar, hari ini.
Dalam ceramah di Kampung Gading, di sini Sabtu lalu, Muhammad Sanusi mendakwa perniagaan bapa Chee Hiong yang dikenali sebagai Ah Howa di Kampung Begia, Sik telah bankrap disebabkan calon tersebut.
Sementara itu, Chee Hiong pada masa sama turut menafikan dakwaan Muhammad Sanusi konon bapanya, Tan Siew Howa adalah individu yang bankrap malah membuktikannya dengan dokumen pengesahan daripada Jabatan Insolvensi Malaysia.
“Perniagaan kedai perkakasan diusahakan bapa yang diwarisi daripada datuk sejak 1985 itu masih berjalan dan diuruskan sepupu. Sebelum ini bapa yang uruskan tetapi kami adik-beradik mahu dia berehat setelah tiga kali menjalani pembedahan tulang belakang serta kaki bermula 2016 hingga Mac tahun ini.
“Bapa bukan tak kenal Muhammad Sanusi dan apabila dia tahu Menteri Besar cakap begitu tentang keluarga kami, dia terkejut kerana tak sangka kawan buat begitu. Seolah-olah ditikam belakang dan bapa sedia menjadi saksi kerana ini bukan hanya fitnah kepada saya atau bapa, sebaliknya seluruh keluarga kami,” katanya.
Sementara itu, Penasihat MCA Kedah yang juga veteran parti, Tan Sri Chor Chee Heung berkata, tindakan Muhammad Sanusi jelas menunjukkan bahawa otak Menteri Besar tersebut ‘tidak berada di kepala, sebaliknya di lutut’.
Beliau mengakui terkejut dan hairan bagaimana kenyataan palsu, tidak berasas dan fitnah boleh dikeluarkan oleh seorang pemimpin utama di Kedah yang sepatutnya sedar masih banyak cara untuk menarik minat rakyat mengundi partinya.
“Saya fikir beliau tak patut buat macam ini. Kalau nak tarik undi untuk calon Perikatan Nasional (PN), banyak lagi cara lain dan tak perlulah pergi ke tahap paling rendah seperti dilakukan Muhammad Sanusi untuk mendapatkan perhatian.
“Saya rasa amat kecewa terhadap Muhammad Sanusi selaku pemimpin negeri dan tak tahulah macam mana beliau akan memimpin negeri ini. Apabila persoalkan apakah MCA tiada calon lain hendak diletakkan di Alor Setar, maka saya juga ingin bertanya kepada Pas sama ada parti itu tiada calon lain hendak diletakkan sebagai Menteri Besar? Kenyataan yang dikeluarkan bersifat bukan-bukan termasuk dalam isu wanita baru-baru ini. Jadi takkan Pas tak ada calon lain boleh jadi Menteri Besar?” katanya. – UTUSAN