PUTRAJAYA: Calon bebas P125 Putrajaya, Lim Fice Bee, 44, akhirnya muncul di khalayak ramai selepas kali terakhir ditemui media pada hari penamaan calon, 5 November lalu.
Fice Bee dilihat hadir berseorangan dan sibuk merakam memori ketika meninjau pelaksanaan serta suasana proses undi awal di IPD Putrajaya selain beramah mesra dengan anggota polis yang hadir.
Berbanding calon lain yang dilihat agak menonjol melakukan siri ‘walkabout’, Fice Bee pula jarang ditemui media sama ada ketika bertemu pengundi atau menyampaikan ceramah.
Ketika didekati wartawan, Fice Bee namun langsung tidak kekok apabila disapa, malah lebih menarik gaya tutur dan lenggok bahasa Melayunya sangat lancar dan teratur.
Fice Bee yang juga merupakan mualaf berkata, beliau mengakui minggu pertama selepas hari penamaan calon banyak digunakan untuk mendekati pengundi menerusi media sosial.
“Saya sudah melakukan walkabout bermula dua hari lalu tapi belum menyeluruh, malah sebelum itu saya banyak bertemu pengundi secara dekat dan bersemuka.
“Saya belum ada ceramah lagi dan bercadang untuk menyampaikan ceramah mulai esok bergantung kepada kebenaran permit,” katanya.
Mengulas mengenai tawarannya kepada pengundi di Putrajaya, Fice Bee berkata, pusat pentadbiran kerajaan sebenarnya sudah lengkap sebagai sebuah bandar pintar, namun ada beberapa isu perlu ditangani termasuk soal pengangkutan awam dan tempat letak kereta.
“Saya rasa pengundi di Putrajaya bijak membuat pilihan dan saya percaya setiap calon mempunyai kekuatan masing-masing termasuk saya.
“Saya menetap di sini sejak 2014 dan sangat memahami isu di sini, justeru saya sama sekali tidak gentar untuk berdepan enam calon lain,” katanya.
Bekas peguam itu berkata, beliau akui sudah berpuas hati dengan gerak kerja kempennya menerusi media sosial dan kini terpulang kepada pengundi untuk menilai dirinya sebagai calon. – UTUSAN