BALIK PULAU: Calon Bebas kerusi Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee turut rancak berkempen dengan turun padang menjelajah kawasan di sekitar Balik Pulau bagi memperkenalkan dirinya.
Memilih menggunakan logo Traktor, Johnny, 50, yang merupakan anak jati Sungai Pinang di sini terharu dan terkejut dengan sambutan pengundi-pengundi Parlimen berkenaan sepanjang empat hari berkempen dan bertemu penduduk.
”Dulu calon Bebas sukar diterima masyarakat setempat di sini, belum pun kita masuk ke kampung mereka sudah tidak pedulikan kita dan minta kita balik sahaja.
”Tetapi kini saya terkejut apabila di mana-mana sahaja tempat saya pergi, masyarakat menerima kehadiran saya dengan baik, malah mereka mahu mendengar apa misi yang mahu saya bawa sebagai calon Bebas,” katanya di sini hari ini.
Johnny yang merupakan seorang ahli perniagaan peralatan sukan berkata, sepanjang berkempen beliau sering menekankan mahu membawa perubahan ekonomi kepada penduduk setempat.
”Saya bertanding sebagai calon Bebas bukan untuk menjadi Menteri, saya mahu mewakili suara penduduk Balik Pulau ke peringkat Dewan Rakyat.
”Sekiranya rakyat memilih saya, saya tidak akan terikat dengan mana-mana parti dan mahu jadi lebih neutral dalam membawa suara rakyat.
”Malah, saya sendiri tahu apa rakyat mahukan kerana berada di sekeliling mereka, saya tidak mahu menjadi wakil rakyat yang hanya bertemu rakyat ketika mahukan undi sahaja,” katanya.
Tambahnya, sebagai seorang ahli perniagaan, beliau melihat kawasan Balik Pulau amat berpotensi untuk dimajukan sebagai hab agro pelancongan.
”Saya lihat pelancongan di sini hanya rancak ketika musim durian sahaja, selepas musim itu tamat kawasan ini kurang menerima pelancong dan ini satu kerugian kepada penduduk setempat.
”Sekiranya dipilih sebagai calon, saya akan menggunakan kepakaran sebagai usahawan bagi menarik pelabur-pelabur dalam bidang pertanian untuk memperkenalkan tanaman lain yang berpotensi dimajukan di sini,” katanya.
Tambahnya, beliau juga mahu memastikan lebih banyak industri hiliran berkaitan dengan pelancongan dapat diperkenalkan di Balik Pulau supaya golongan muda tidak lagi perlu berhijrah mencari rezeki. – UTUSAN