KUANTAN: Pemilihan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman akan dilakukan dalam tempoh terdekat oleh pucuk pimpinan tertinggi gabungan itu.
Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, berita kematian calon kerusi itu, Md. Yunus Ramli, 61, kira-kira pukul 3.30 pagi tadi sudah dimaklumkan kepada pucuk pimpinan tertinggi PN.
Menurutnya, kerusi DUN Tioman diperuntukkan kepada Pas dan parti itu sekali lagi akan memilih calon daripada parti mereka.
“Pemilihan (calon) akan dibuat secepat mungkin, tapi bukan hari inilah sebab semua sedang sibuk mengundi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Talam, Indera Mahkota di sini.
Saifuddin yang juga merupakan penyandang bagi kerusi Parlimen Indera Mahkota selesai mengundi di sekolah itu kira-kira pukul 9.25 pagi.
Md. Yunus dipercayai meninggal dunia pada pukul 3.30 pagi akibat komplikasi jantung.
Allahyarham dilaporkan mengadu sakit dada dan dibawa ke Hospital Rompin oleh anaknya untuk menerima rawatan pukul 3 pagi.
Saifuddin turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Md. Yunus.
Pada PRU15 ini, kerusi DUN Tioman menyaksikan saingan lima penjuru antara Md. Yunus, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd. Johari Hussain, Mohd. Fadzli Mohd. Ramly dari Pakatan Harapan (PH), Osman A Bakar dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Sulaiman Bakar dari parti Bebas. – UTUSAN