Bumbung runtuh; Wisma Anak Yatim Perempuan (Islam) diselenggara setiap tahun - Utusan Malaysia

Bumbung runtuh; Wisma Anak Yatim Perempuan (Islam) diselenggara setiap tahun

TIGA penghuni asrama Wisma Anak Yatim Perempuan (Islam) di Jalan Scotland, George Town, Pulau Pinang cedera selepas bumbung bagunan itu runtuh dalam kejadian malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Bangunan Wisma Anak Yatim Perempuan (Islam) di Jalan Scotland di sini, diselenggara setiap tahun mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.

Yang Dipertua Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Pulau Pinang, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, kejadian bumbung runtuh di asrama wisma berkenaan adalah kemalangan yang berlaku di luar jangka.

”Struktur bumbung asrama yang runtuh semalam akan dibaiki oleh pengurusan wisma, namun pemulihan struktur ini dijangka mengambil sedikit masa.

”Kejadian ini memang kita tidak sangka kerana penyelenggaraan bangunan dijalankan setiap tahun mengikut akta dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

”Buat masa ini siasatan mengenai kejadian masih dijalankan oleh agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan sebagainya, selepas siasatan selesai bangunan ini akan dibaiki, namun akan mengambil sedikit masa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.42 malam semalam, tiga penghuni Wisma Anak Yatim Perempuan (Islam) cedera apabila bumbung di asrama itu runtuh.

Mangsa yang berusia lapan, 10 dan 13 tahun itu cedera di beberapa bahagian badan dan keadaan mereka dilaporkan stabil dan kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurut Mohd. Yussof, pihaknya bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dan penghuni yang mengalami kecederaan telah dirawat dengan segera.

”Terdapat 30 penghuni di wisma ini dan sekarang mereka ditempatkan di The Regional Centre for Education in Science and Mathematics (RECSAM) buat sementara sebelum dipindahkan ke Wisma Anak Yatim Lelaki (Islam) di Jalan Air Itam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya