SEJAK kembali mewarnai industri hiburan dengan menyertai program popular, Gegar Vaganza musim kesembilan(GV9), Tom atau nama sebenarnya, Raja Farah Afzal Raja Ikram dilihat begitu terbuka bercerita mengenai sejarah kehidupannya.
Tom telus bercerita dan menjawab, waima apa sahaja soalan berkaitan dirinya diajukan walaupun mungkin ada ketika, dia bergelut mengingati semula perkara yang berlaku dalam kehidupannya sebelum ini.
Ada yang menganggap Tom terlalu jujur ketika berkongsi kisah hidupnya, sekali gus menyerlahkan sisi polos dirinya. Namun, bagi yang mengenali Tom, memang itul sikapnya sejak dahulu.Tom tidak pandai berbohong dan ‘lurus’ orangnya.
Pun begitu, di sebalik segala segala kisah yang diceritakan, ada pula segelintir pihak menganggap Tom sengaja menjual cerita sedih untuk meraih simpati. Pancaindera sempat berbual dengan Tom untuk menjawab persoalan itu.
Bila Tom dikatakan terlalu terbuka bercerita mengenai kisah hidup, ada pihak menganggap Tom sengaja menjual cerita sedih untuk meraih simpati. Apa komen Tom?
Biasalah apabila kembali aktif, suka atau tidak, memang orang akan ambil tahu kisah peribadi kita. Saya sudah sedia maklum keadaan ini kerana bukan baru bergelar artis. Cuma, apabila orang kata saya sengaja jual cerita sedih, rasanya tidak. Bukan begitu. Bila orang bertanya, terutama daripada pihak media, saya akan jawab sahaja.
Ada yang kata, ‘alahai Tom, simpanlah sikit hal peribadi itu, tidak perlu buka semua’. Macam mana pula tu?
Mana mereka tahu yang saya buka semua cerita peribadi? Tidak semua kisah saya kongsikan dengan semua orang. Ada perkara yang saya perlu telan sendiri. Kebanyakannya, saya hanya bercerita secara permukaan. Saya cerita bila orang bertanya. Bagi saya, buat apa nak sorok-sorok? Contohnya, macam kisah saya ada tatu. Lebih baik orang tahu pengakuan saya sendiri daripada timbul cerita lain. Zaman sekarang, ada kala netizen lebih cepat tahu sesuatu cerita atau isu. Saya tidak kisah, saya okey sahaja. Kalau orang tanya, saya akan jawab dengan baik.
Tidak bimbang jika semua orang tahu hal peribadi diri, terutama kisah yang mungkin negatif atau agak sensitif untuk dikongsikan?
Sebenarnya, saya ini bukan terbuka sangat. Segan nak cerita pada orang. Lebih-lebih lagi apabila perkara itu melibatkan keluarga. Kita ada keluarga yang perlu kita jaga nama baik.Pada masa sama, saya tahu lumrah menjadi artis atau selebriti memang begini. Selagi tidak mengaibkan mana-mana pihak,saya okey. Selama ini, saya tidak pernah buka cerita buruk orang lain. Apa yang diceritakan pada umum cuma tentang diri sendiri.
Bagaimana dengan penerimaan anak-anak Tom?
Alhamdulillah, semua okey. Sebenarnya, sejak saya masuk GV9, dua anak yang saya jaga rasa pelik bila tengok layanan orang terhadap ibu mereka. Iyalah, pergi mana-mana sekarang ada peminat datang dekat, bertegur sapa dan bergambar. Anak-anak tanya, kenapa mereka nak bergambar dengan mama? Mama ini popularkah? Saya jelaskan pada mereka, orang bergambar sebab kenal saya menerusi GV9. Mula-mula mereka tidak faham. Tetapi sekarang, sudah semakin okey. Mereka sudah mulai faham yang mama mereka ini penyanyi.
Tom pernah menyesal kembali ke dunia glamor menerusi GV? Kalau tidak masuk, tentu orang tidak masuk campur dan ambil tahu hal peribadi Tom?
Tidak pernah saya menyesal. Ini perjalanan dan takdir yang Allah SWT telah tentukan kepada saya. Tidak sedikit pun saya menyesal walaupun penglibatan saya dalam program itu terhenti pada minggu kelapan. Tidak apa, yang penting saya sudah cuba sehabis baik. Malah, saya bersyukur sangat sebab bila masuk GV9, saya dapat peluang bertemu semula dengan anak sulung yang telah lama terpisah. Ada pihak yang sudi mengusahakan pertemuan itu. Cuma, hasrat membawa anak menonton persembahan saya pada minggu kesembilan tidak kesampaian kerana saya tersingkir lebih awal. Sekurang-kurangnya, anak saya, Megat Aril, tahu Tom ini mama dia. Tom yang berjuang di pentas GV9 itu adalah ibunya. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada seluruh produksi GV9 yang banyak buka peluang buat saya. Jadi, tidak ada sebab untuk saya menyesal.