Bukan saya pasang billboard 'Never Lost In Tambun’

Bukan saya pasang billboard ‘Never Lost In Tambun’ – Ahmad Faizal

AHMAD Faizal Azumu (kiri) pada program ceramah kelompok PN di Meru Perdana, Ipoh, Perak, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan beliau memasang papan iklan atau billboard  Never Lost In Tambun, di sini yang dikaitkan sebagai kempen beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penyandang kerusi Parlimen Tambun itu berkata, papan iklan itu juga bukan dipasang oleh partinya namun beliau mengenali pihak yang memasangnya sehingga tular.

Katanya, beliau sudah memberitahu pihak yang memasang papan iklan itu supaya tidak menyertakan perkataan Perikatan Nasional (PN) kerana bukan sebahagian daripada kempen parti.

“Namun saya fikir billboard itu  sekadar menambah warna dalam usaha berkempen ketika ini. Walaupun nampak seperti menyindir tetapi sebahagian kita berpolitik tanpa perlu serangan peribadi dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita pada ceramah kelompok PN di Meru Perdana di sini semalam.

Ahmad Faizal mengakui beliau suka cara itu kerana ia memberi elemen keseronokan sepanjang tempoh berkempen. 

“Saya suka cara itu sebab beri sedikit elemen keseronokan, saya rasa okey sahaja,” katanya. 

Ditanya mengenai dakwaan kos pemasangan dan pertukaran papan tanda sekitar Tambun yang dianggap membazir, beliau berkata, itu bukan daripada parti atau dirinya sendiri kerana terdapat had perbelanjaan yang ditetapkan untuk berkempen.

“Ramai orang pakai kereta besar-besar, itu hak dia. Disebabkan itu saya kata ini bukan daripada saya. Saya cuma boleh membelanjakan wang tidak lebih daripada RM200,000. Itu ikut undang-undang, tapi kalau ada orang lain yang buat, siapa saya untuk menghentikannya?” soalnya. 

Ahmad Faizal mengulas laporan berita mengenai papan iklan di Tambun yang dikaitkan dengan beliau sebagai bahan kempen PRU15.

Ia memaparkan wajah Ahmad Faizal dengan perkataan Never Lost In Tambun namun papan iklan sudah diturunkan dan digantikan dengan papan iklan baharu dengan tulisan Dari Tambun susur keluar ke Utara, 50m.

Papan iklan itu dipercayai disasarkan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding di Parlimen Tambun. Ia dikatakan sebagai respons kepada papan iklan dengan gambar Anwar dan tulisan Dari Tambun untuk Malaysia yang dinaikkan di Jalan Chemor-Jalan Meru Impian.

Parlimen Tambun menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Ahmad Faizal, Anwar, Aminuddin Md Hanafiah (Barisan Nasional) dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya