MARANG: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Marang, Jasmira Othman percaya dapat mengulangi kejayaan Datuk Seri Abdul Rahman Bakar yang digelar giant killer menewaskan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di kerusi tersebut.
Beliau berkata, walaupun Parlimen Marang kubu kuat Pas yang sukar ditawan sebelum ini, bukan sesuatu yang mustahil sekiranya BN merampas semula kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, kerusi tersebut bukan milik Pas dan rakyat berhak memilih calon terbaik untuk membela nasib mereka dan membangunkan Parlimen ini.
“Sokongan yang diterima daripada pengundi sejak kempen bermula pada 5 November lalu cukup memberangsangkan dan sokongan tersebut diharapkan dapat diterjemah di kertas undi.
“Gelombang sokongan ini bukan hadir selepas pembubaran Parlimen, malah telah berlaku sebelum itu lagi,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Abdul Hadi tewas dua kali kepada Abdul Rahman di Parlimen itu pada pilihan raya 1986 dan 2004.
Selain itu, Jasmira berkata, pembangunan di Parlimen Marang menjadi salah satu isu yang dibangkitkan dalam kempen di Parlimen ini.
Pada masa sama, katanya, isu tersebut menjadi tumpuan sekiranya diberikan mandat pada PRU kali ini.
“Setakat ini kita lihat pembangunan khususnya di bandar Marang masih terkebelakang berbanding di tempat lain,” ujarnya.
Parlimen Marang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Jasmira, Abdul Hadi (Perikatan Nasional), Azhar Ab. Shukur (Pakatan Harapan) dan Dr. Zarawi Sulong (Gerakan Tanah Air).
Pada PRU14, Abdul Hadi memperoleh 53,749 undi dengan majoriti 21,954 menewaskan calon BN, Mohamad Nor Endot (31,795 undi) dan calon Pakatan Harapan, Dr. Zarawi Sulong (5,138 undi). – UTUSAN