RANTAU PANJANG: Polis meminta semua parti bertanding termasuk calon-calon supaya berkempen secara aman dengan tidak menimbulkan provokasi yang boleh mengganggu ketenteraman awam sepanjang musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun bagaimanapun berkata, pihaknya yakin kesemua calon bertanding sudah memahami budaya rakyat negeri ini.
Menurutnya, setakat ini polis sudah meluluskan 360 permit ceramah selepas menerima permohonan daripada parti politik untuk berkempen sejak pukul 2 petang tadi.
“Bagi kempen melibatkan ‘walkabout’ ke pasar dan ziarah rumah, calon hanya perlu membuat permohonan secara bertulis sekali sahaja memaklumkan lokasi dan masa dalam tempoh berkempen ini.
“Ia bagi mengelakkan calon bertembung semasa berkempen, tetapi di Kelantan tiada masalah jika mereka bertembung. Budaya di Kelantan berbeza, mereka berpolitik secara matang, mereka akan bertegur sapa jika bertembung sekali pun,” katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’ Deh di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai situasi banjir di negeri ini, Muhamad Zaki memberitahu, setakat ini dua PPS iaitu di SK Gual To’ Deh, Rantau Panjang dan di SK Kelewet, Tanah Merah sudah dibuka.
Katanya, penduduk di Rantau Panjang dinasihatkan supaya berada keadaan berjaga-jaga kerana paras air di Sungai Golok semakin meningkat dengan bacaan 8.6 meter selain sudah melepasi paras amaran.
“Mana-mana kampung yang sering dinaiki air, penduduk perlu berjaga-jaga. Berpindahlah dengan segera jika paras air terus meningkat,” ujarnya. – UTUSAN