BUTTERWORTH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sentiasa memantapkan program melibatkan komuniti bagi memastikan masyarakat mendapat pendedahan sewajarnya berhubung peranan pasukan itu dalam menjaga keselamatan rakyat.
Penguasa Kanan Bomba I, Faizal Izani Azizan berkata, tugas dan peranan JBPM semakin meluas serta mencabar, malah setiap anggota sentiasa perlu bersiap sedia berdepan dengan sebarang cabaran.
“Antara aktiviti yang kita lakukan adalah penganjuran program lawatan bagi mendedahkan golongan muda dengan kerja memadam, menentang, mencegah dan mengawal kebakaran.
“Kita turut menjalankan demonstrasi operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran menggunakan tiga unit helikopter yang mana dua daripadanya dibawa khas dari Pangkalan Udara JBPM Wilayah Tengah di Subang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pangkalan Udara JBPM Wilayah Utara di Bertam, dekat sini hari ini.
Hampir 2,000 murid dan pelajar menyertai program terbabit yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini.
Sementara itu, seorang peserta, Nur Amani Abdullah,18, berkata, dia amat teruja melihat kecekapan anggota bomba menjalankan operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran menggunakan helikopter.
“Sebelum ini kita biasanya tahu peranan pihak bomba memadamkan api, menyelamatkan mangsa banjir dan kebanyakannya meliputi tugas ‘on the ground’ sahaja.
“Ternyata masing-masing memiliki kemahiran dan kecekapan ditambah lagi dengan aset udara yang moden bagi memudahkan operasi dijalankan,” katanya. – UTUSAN