IPOH: Barisan Nasional (BN) yakin menang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz Bari di DUN Tebing Tinggi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perubahan sikap dalam kalangan pengundi-pengundi muda dan semua kaum di kawasan itu akan memberikan kemenangan kepada parti itu.
“Saya optimis, saya turun padang dan saya tengok ada perubahan sikap dalam kalangan pengundi-pengundi sama ada Melayu, Cina dan lain-lain.
“Saya tengok kepada pola pemikiran pengundi muda sama seperti pola pemikiran pengundi muda di Johor sebab di Johor adalah kali pertama orang muda mengundi.
“Saya yakin mereka adalah orang yang akan menentukan kemenangan kali ini akan memberi undi kepada BN. Apatah lagi pengundi-pengundi muda yang telah mengundi Pakatan Harapan (PH) pada 2018 kerana mereka diperdaya dengan janji-janji manis,” katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan bersama calon dan pengundi DUN Tebing Tinggi, di sini semalam.
Menurutnya, pengundi-pengundi serik mengundi PH yang tidak menunaikan janji-janji semasa PRU14 dan berkemungkinan akan berpatah balik memberi kemenangan kepada BN.
“Saya buat kajian semasa saya pergi ke Tanjung Piai. Orang-orang muda ini serik kerana mereka tertipu dan terpedaya dengan janji-janji kosong. Mereka ini akan berpatah balik memberi kemenangan kepada BN,” katanya.
Beliau yakin menang kawasan DUN Tebing Tinggi yang menjadi kawasan Ketua Pembangkang Perak, Dr. Abdul Aziz selepas memenangi PRU14 dengan majoriti undi 3,927 UNDI.
“Ya, sebab ini kita pernah menang di tiga-tiga kawasan termasuk parlimen. BN pernah menang. BN pernah menguasainya sebelum 2004,” katanya.
Sementara itu, mengulas kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming jika rakyat mengundi Perikatan Nasional (PN) sama sahaja seperti mengundi BN, Saarani berkata, itu satu bentuk propaganda semata-mata.
“Itu propaganda. Apa kena mengena PN dan BN? Di mana PN bertanding di situ juga BN bertanding,” katanya.
Pada PRU15, BN meletakkan calonnya, Khoo Boon Chuan yang pernah bertanding pada PRU14.
Dua lagi calon ialah Mohammad Iskandar Abdul Rahman (PN) dan Mior Haidir (Pejuang). – UTUSAN