SEREMBAN: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu bergabung dan menubuhkan kerajaan.
Perkara itu, katanya, mengambil kira kedua-dua parti berkenaan mendapat bilangan undi yang lebih tinggi.
Kata beliau, BN yang ditolak rakyat pula bersedia untuk menjadi pembangkang yang bertanggungjawab untuk menjalankan tugas semak dan imbang kerajaan baharu tersebut.
“Kami BN menerima keputusan rakyat yang menolak BN maka kami ini tidak ada kuasa untuk menubuhkan kerajaan.
“Saya cadangkan biarlah PN dan PH bergabung tubuh kerajaan sebab mereka mendapat bilangan nombor undi yang lebih tinggi.
“BN bersedia menjadi pembangkang yang bertanggungjawab ‘check and balance’ kerajaan baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun jelas Mohamad, jika bantuan BN diperlukan dalam waktu peralihan pasca pilihan raya umum ini, parti itu tetap sedia menyumbang kepada pembukaan bicara yang ikhlas dan terbuka.
“Kalau masih tidak dapat juga tubuh kerajaan, tolong jangan salahkan kami. Ini hasil daripada proses yang demokratik, untuk memulangkan mandat kepada rakyat.
“Kami hanya menghormati keputusan itu. Semoga Malaysia sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT jua.” katanya. – UTUSAN