PETALING JAYA: “Barisan Nasional (BN) perlu memastikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Kemenangan kali ini mampu menyelamatkan UMNO daripada percubaan untuk dibubarkan pada kali kedua sejak tahun 2018”.
Demikian seruan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya BN menang agar terselamat daripada cubaan pihak lawan yang ingin mengharamkan parti tersebut pada masa akan datang.
Menurut beliau, tindakan mengharamkan UMNO oleh pihak lawan adalah kerana ingin menghampuskan pengaruh parti tersebut dan menguasai pengundi-pengundi Melayu.
“Selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH), salah satu langkah utama pemimpin utama mereka Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) cuba mengharamkan UMNO.
“Tindakan ini dilakukan untuk menghapuskan pengaruh akar umbi dan kedudukan parti berteraskan Melayu supaya parti Bersatu boleh mengambil peranan serta menguasai undi Melayu,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri diminta oleh Mahathir untuk membubarkan UMNO dan membawa semua ahli menyertai Bersatu secara besar-besaran walau bagaimanapun permintaan iu ditolak.
“Apabila saya menolak dan tidak mahu memenuhi permintaan tersebut saya terus dikenakan pendakwarayaan terpilih. Saya juga diaibkan, diperlekehkan malah dilabelkan sebagai kluster mahkamah secara berulang-ulang diberikan persepsi tersebut selama bertahun-tahun.
“Malah ada menggunakan tuduhan jelik tersebut bukan sahaja untuk memburukkan nama saya, malah digunakan untuk memburukkan nama UMNO. Apabila saya didapati tidak bersalah pertuduhan 40 kes perbicaraan oleh Mahkamah Tinggi tidak pula mereka melabel ini meminta maaf kepada saya,” katanya.
Tambahnya, sekiranya pihak lawan berjaya memperoleh kemenangan pada PRU15 pasti UMNO akan diharamkan.
Selamatkanlah UMNO daripada cubaan untuk diharamkan. Satu undi kepada Muhyiddin dan Mahathir serta sekutu mereka adalah satu undi untuk percubaan mengharamkan UMNO selepas PRU15.
Ingatlah! Muhyiddin kata UMNO akan dihanyutkan di dalam Sungai Muar. Jangan biarkan UMNO terus diperlekeh dan kita berdiam diri. Selagi watak tersebut berada di Perikatan Nasional dan Gerakan Tanah Air juga di PH selagi itulah UMNO dalam bahaya besar,” tegasnya.-UTUSAN