PARIT BUNTAR: Barisan Nasional (BN) Perak tidak memikirkan kerjasama dengan parti lain kerana yakin parti itu akan membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jika menang lebih 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN sudah boleh membentuk kerajaan negeri tanpa perlu gabungan dengan mana-mana parti.
“Setakat ini belum ada keperluan untuk kita memikirkan soal gabungan dengan parti lain kerana kita mempunyai keyakinan BN akan dapat tubuh kerajaan.
“Kalau dapat melintasi jumlah 30 kerusi, itu sudah cukup untuk menjadi kerajaan tunggal tapi saya yakin BN akan dapat kepercayaan rakyat di lebih 30 kerusi untuk kita tubuhkan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek membina Jalan Tuju ke Jambatan Kuala Kurau di sini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada program di Sungai Siput yang berkata, penggabungan antara BN dan parti lain perlu dibincang dan diputuskan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Bagaimanapun, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menjelaskan, semuanya bergantung kepada keputusan PRU15 sama ada satu jajaran baharu dengan gabungan parti lain akan dibentuk atau sebaliknya.
Kata Ismail Sabri, penggabungan yang pasti adalah antara BN dengan gabungan parti dari Sabah dan Sarawak. – UTUSAN