PETALING JAYA: Parlimen Hulu Langat mungkin menyaksikan Barisan Nasional (BN) membuat ‘kejutan’ dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan memenangi kerusi tersebut, sekali gus memecahkan rekod tradisi kawasan itu yang sinonim sebagai kubu kuat Pas dan Pakatan Harapan (PH).
Calon BN di Parlimen tersebut, Datuk Wira Johan Abdul Aziz sewaktu ditemui Utusan Malaysia berkata, meskipun beliau tidak boleh mendedahkan jumlah pengundi kategori putih di pihak BN, namun jentera parti sudah berjaya mencapai matlamat bagi memenangi kerusi Parlimen itu.
“Soal berapa banyak pengundi putih di pihak BN, itu biarlah rahsia. Jentera saya sudah beritahu. Majoriti ada 42 Pusat Daerah Mengundi (PDM), apa yang saya sudah ronda, semua sudah mencapai matlamat.
“Jadi, saya beritahu mereka, tolong, kita berkempen sampai 18 November. Tapi, kita harus bekerja sampailah pagar sekolah tempat mengundi nanti tutup pukul 6 petang, 19 November. Jangan dalam keadaan selesa,” katanya di sini kelmarin.
Pada masa sama, Johan berkata, BN memang berdepan Pakatan Harapan (PH) yang mempunyai banyak kelebihan sebagai kerajaan di Selangor, dan mengakui ia satu yang sukar.
“Sebab kita lawan PH, mereka masih lagi kerajaan di Selangor. Mereka ada ahli majlis, mereka ada ketua kampung.
“Kita tiada jentera sebegini sebab kita pembangkang di Selangor. Jadi, saya sentiasa mengingatkan jentera supaya bekerja bersungguh-sungguh sehingga malam 19 November.
Sementara itu, beberapa anggota BN dari war room Parlimen Hulu Langat yang ditemui berkata, setakat 15 November BN sudah berjaya mengumpulkan 60 peratus pengundi kategori putih di seluruh Parlimen Hulu Langat.
Sumber yang enggan namanya disiarkan berkata, jumlah pengundi keseluruhan di situ pada PRU15 seramai 165,000 dan 70 peratus adalah Melayu iaitu kira-kira 115,000 pengundi.
“Jaringan Rakyat dan jentera war room sudah mengumpulkan 60 peratus daripada pengundi Melayu yang kami kategorikan sebagai putih.
“Jika peratusan keluar mengundi kali ini berada pada takat 70 hingga 80 peratus, maksudnya besar kemungkinan BN sudah melepasi takat 50 peratus untuk menang, ini berpotensi untuk merampas Parlimen ini,” kata sumber.
Parlimen Hulu Langat P101 merangkumi dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Dusun Tua serta Semenyih. Dalam PRU14, sejumlah 102,363 pemilih berdaftar di Parlimen itu mengambil bahagian dalam proses pengundian.
Pada PRU14, Parlimen itu dimenangi penyandang Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Hassanuddin Mohd. Yunus yang memperoleh jumlah undi 49,004, dengan majoriti 25,424.
Beliau menewaskan calon BN, Azman Ahmad yang memperolehi 23,580 jumlah undi, serta calon Pas, Dr. Che Rosli Che Mat yang memperolehi 15,663.
Sewaku PRU13 pada 10 April, 2013, kerusi Parlimen itu dimenangi calon Pas, Dr. Che Rosli Che Mat dengan 64,127 undi (17,267 majoriti), mengalahkan calon BN, Adzhalisa Mohd. Nor yang meraih 46,860 undi.
BN turut gagal menguasai Parlimen itu sewaktu PRU12 pada 8 Mac, 2008. Ketika itu, calon Pas Dr. Che Rosli Che Mat mengalahkan calon BN Datuk Markiman Kobiran dengan majoriti 1,745. – UTUSAN