BN mahu perkenal semula bantuan kebajikan penduduk Perlis

BN mahu perkenal semula bantuan kebajikan penduduk Perlis

AZLAN Man dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan BN DUN Bintong, Kangar, Perlis.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Barisan Nasional (BN) bercadang memperkenalkan semula bantuan kebajikan buat penduduk di negeri ini sekiranya parti itu terus diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di peringkat negeri dan Pusat.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, sebelum ini, kerajaan negeri sememangnya menyediakan peruntukan bantuan berjumlah RM150 seorang pada setiap tahun buat semua golongan mengikut lima kategori disediakan iaitu fakir miskin, orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan anak yatim.

Katanya, bagaimanapun, bantuan kebajikan itu dihentikan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kepimpinan kerajaan pada PRU14 dan menyebabkan beribu rakyat negeri ini tidak lagi menerima manfaat tersebut.

“Namun, saya ingin umumkan, sekiranya kerajaan BN dikekalkan di peringkat negeri dan Persekutuan, maka bantuan kebajikan ini akan dimulakan kembali dan saya akan mohon peruntukan secukupnya daripada Kerajaan Persekutuan bagi melancarkan pelaksanaannya,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong di sini malam tadi.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Azlan yang juga calon BN DUN Bintong berkata, pihaknya bercadang untuk mewujudkan satu lagi kategori baharu bagi bantuan itu melibatkan golongan bapa tunggal.

Malah, Azlan berkata, pihaknya juga berhasrat untuk menaikkan jumlah bantuan itu daripada RM150 kepada RM200 buat setiap individu.

“Ini merupakan hasrat Kerajaan Perlis jika BN masih terpilih dalam PRU15 di peringkat negeri dan Persekutuan. Kita tidak mahu lagi kerajaan negeri parti lain, pusat pula parti lain kerana nanti ia akan menyukarkan keselarasan dari segi keputusan dan dasar yang hendak dibuat seperti sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Azlan berkata, berdasarkan statistik program bantuan kebajikan itu sebelum ini, inisiatif tersebut membabitkan semua 15 DUN dan tiga Parlimen di negeri ini dengan purata penerima sekitar 30,000 orang setiap tahun.

Tambahnya, sekiranya kerajaan BN kekal memerintah, penerima bantuan itu dijangka meningkat mencecah sekitar 40,000 orang.

“Dan peruntukan yang akan disediakan nanti juga mungkin akan bertambah sehingga mencecah RM10 juta demi manfaat penduduk di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya